Bank Untung Bukan Boleh Beri Moratorium Sewenang-Wenangnya

- Advertisement -

PETALING JAYA: Keuntungan yang dicatatkan institusi perbankan dalam tahun kewangan yang lalu bukanlah bermakna bantuan bayaran balik pinjaman boleh diberikan secara sewenang-wenangnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, orang ramai perlu membezakan keperluan moratorium sebagai satu instrumen membantu rakyat dan bank pula sebagai sebuah entiti perniagaan yang bermotifkan keuntungan.

Kata beliau, perbahasan berkenaan keperluan moratorium pukal perlu dilihat dalam konteks ia sebagai instrumen dasar untuk membantu rakyat, sama ada ia pilihan terbaik untuk tujuan tersebut atau tidak.

“Sebarang bentuk bantuan sebaiknya bersasar. Apabila bantuan tidak bersasar dilaksanakan, maka berlakulah pembaziran. Prinsip yang sama juga dilaksanakan dalam moratorium pinjaman.

“Di samping itu, kebanyakan saham institusi perbankan dimiliki oleh institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mana keuntungan bank-bank akan disalurkan kepada institusi ini, dan akhirnya memanfaatkan rakyat melalui pemberian dividen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Afzanizam, tujuan pemberian moratorium adalah untuk memberikan ruang dan waktu kepada mereka yang terkesan untuk mencari jalan keluar kepada masalah yang sedang dihadapi berkaitan pandemik Covid-19.

Kata beliau, dengan bantuan moratorium, wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar hutang dapat digunakan untuk tujuan lain seperti membeli keperluan asas atau sebagai modal untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

Namun begitu, kata beliau, disebabkan bantuan itu berbentuk penangguhan hutang, mereka yang tidak terkesan sebaiknya melunaskan hutang mengikut jadual yang ditetapkan.

“Bukan sahaja pembayaran hutang yang mengikut jadual akan mengurangkan hutang, rekod pembayaran juga akan menjadi lebih baik.

“Apabila rekod pembayaran adalah baik, lebih mudah untuk membuat pembiayaan baharu terutamanya bagi mereka yang ingin membeli rumah kedua dan kenderaan seterusnya.

“Resam berhutang adalah untuk membayar hutang tepat pada masanya,” katanya.

Jumaat lalu, sebanyak 125 gabungan NGO dan dewan perniagaan menggesa pihak kerajaan melaksanakan pemberian moratorium secara menyeluruh sekurang-kurangnya selama enam bulan atau sehingga negara mencapai imuniti kelompok.

Gabungan itu mendakwa merangkumi lebih satu juta perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dari seluruh negara yang memberi peluang pekerjaan kepada hampir tujuh juta orang, termasuk 3.9 juta perniagaan mikro dan perseorangan.

– UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,547FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat