Malaysia Alu-alukan Moody’s Kekal Penarafan Stabil

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kerajaan mengalu-alukan pengekalan penarafan Moody’s Investors Service(Mo ody’s) bagi penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan “Stabil”.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, pengekalan penarafan ini mencerminkan keazaman negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan daya tahan walaupun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu.

Terdahulu Moody’s menyatakan, “Kepelbagaian dan daya saing ekonomi Malaysia serta akses Kerajaan kepada sumber pembiayaan domestik yang kukuh akan terus menjadi kekuatan kepada penarafan.

“Ini membantu mengurangkan peningkatan risiko fiskal berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan beban hutang bertambah seterusnya mengehadkan kemampuan keberhutangan”.

Moody’s menjangkakan pertumbuhan KDNK benar Malaysia menyederhana kepada 4.5% pada 2023 berikutan situasi ekonomi global yang menyederhana seterusnya mempengaruhi permintaan luar terhadap produk pembuatan walaupun terdapat peningkatan eksport komoditi, pemulihan dalam sektor pelancongan dan pengukuhan dalam pasaran buruh.

Dalam jangka masa sederhana, Moody’s mengunjurkan pertumbuhan KDNK benar Malaysia pada sekitar 5% menjelang 2025, menghampiri potensi pertumbuhan output, disokong oleh demografi yang lebih baik berbanding negara berpenarafan setara A, tahap pelaburan yang kukuh serta permintaan yang lebih tinggi dari negara maju.

Prospek Pertumbuhan Yang Kukuh

Menurut Moody’s, prestasi dan daya tahan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik disokong oleh pelbagai pemacu pertumbuhan dan penyertaan Malaysia dalam rantaian nilai global, termasuk kemasukan pelaburan asing yang lebih kukuh dalam industri bernilai tinggi.

Moody’s juga menyatakan bahawa pertumbuhan jangka sederhana akan terus disokong oleh integrasi negara ke dalam rantaian bekalan serantau dan global serta daya saing ekonomi yang lebih tinggi yang mampu menyumbang kepada lebihan dagangan luar yang besar.

Di samping itu, faktor lain yang mempengaruhi pertumbuhan termasuk kelebihan Malaysia berbanding pasaran serantau yang sedang pesat membangun dari segi kualiti infrastruktur, pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran buruh dan produk serta penggunaan teknologi.

Sementara itu, Moody’s menyatakan bahawa Malaysia terus menunjukkan tahap kompleksiti ekonomi yang tinggi, mencerminkan intensiti pengetahuan mengenai eksport barangan utama seperti produk elektrik dan elektronik (E&E).

Institusi yang Kukuh dan Polisi yang Berkesan

Moody’s turut mengiktiraf keupayaan institusi Malaysia dalam menangani pelbagai cabaran menerusi pelaksanaan polisi monetari dan makroekonomi yang berkesan serta daya tahan sistem perbankan hasil langkah pengawalseliaan ketat oleh bank pusat.

Moody’s juga mengambil kira penambahbaikan ketelusan dalam pelaporan liabiliti luar jangka dan penerbitan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana yang mempamerkan keberkesanan dasar fiskal Malaysia.

Moody’s menjangkakan usaha Malaysia untuk melaksanakan pembaharuan tadbir urus termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal untuk meningkatkan akauntabiliti fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan akan mampu menangani isu-isu pembaziran dan rasuah.

Pada pandangan Moody’s, pembaharuan ini memberi makna yang jelas dalam usaha Kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal dan kestabilan hutang.

Konsolidasi Fiskal Secara Berperingkat

Sementara itu, Moody’s menjangkakan defisit fiskal akan berkurang kepada 5% daripada KDNK pada 2023 dengan trajektori konsolidasi fiskal yang lebih perlahan pada 2024 dan 2025 selaras dengan unjuran rasmi iaitu 3.6% pada 2025, berikutan asas hasil yang terhad dan komitmen perbelanjaan yang tinggi.

Moody’s juga menjangkakan beban hutang Kerajaan akan berkurang kepada 61% daripada KDNK pada 2024 dan menekankan bahawa terdapat risiko yang rendah daripada liabiliti luar jangka.

Oleh yang demikian, Moody’s menyatakan bahawa pasaran modal domestik yang mendalam telah menyeimbangkan kelemahan kedudukan fiskal semasa, manakala kadar faedah dan keluk kadar hasil Kerajaan telah kembali normal kepada paras prapandemik dan kekal stabil.

Walau bagaimanapun, Moody’s juga berpandangan pembaharuan diperlukan bagi memperluas asas hasil memandangkan asas hasil negara adalah antara yang terendah berbanding negara berpenarafan setara A; dan komitmen perbelanjaan Kerajaan yang tinggi meliputi kemampanan pencen, bayaran khidmat hutang dan subsidi.

Malah, paras hutang dan liabiliti luar jangka semasa memberi risiko ke atas kemampuan keberhutangan Kerajaan.

Dalam pada itu, selari dengan visi Malaysia MADANI, Kerajaan komited memacu pertumbuhan inklusif dan mampan, mengembalikan keyakinan terhadap institusi awam dan tatakelola serta mempertahankan keadilan sosial kepada semua rakyat Malaysia.

“Kerajaan akan terus berusaha memperkukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan di samping memberi fokus kepada inisiatif mengawal tekanan inflasi dan mengurangkan beban hidup rakyat.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan fiskal dan mengawal paras hutang bagi memastikan struktur ekonomi yang kukuh serta rangka kerja institusi yang berwibawa dalam menguruskan kewangan awam,” kata kenyataan Kementerian Kewangan itu lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat