Innovathon: Bina bakat digital dan teknologi pacu ekonomi nilai tinggi – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bagi memupuk dan mengarus perdanakan budaya inovasi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Innovathon.

Ia sebuah program realiti TV yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjana dan mengembangkan idea inovatif yang boleh dikomersialkan sebagai produk digital dan tech melalui format hackathon.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mulai Mei 2023, Innovathon akan membuka proses saringan idea kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Peserta yang berminat boleh menyediakan video ringkas yang menghuraikan idea inovasi mereka dan pelan komersial yang ringkas untuk dihantar secara atas talian.

“Program realiti TV Innovathon pula dijangka akan mula bersiaran dalam bulan Jun 2023 selama 10 minggu.

“Video-video ini akan dinilai dan idea terpilih kemudiannya akan dijemput ke sesi uji bakat fizikal di hadapan panel hakim di enam lokasi di seluruh Malaysia (Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah),” kata Rafizi dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, peserta di peringkat ini akan menerima bimbingan daripada mentor berpengalaman dalam bidang perniagaan, produk, dan teknologi, untuk menyediakan peserta untuk membentangkan idea mereka kepada pengguna berpotensi dan bakal pelabur.

Kata Rafizi, Kementerian Ekonomi dan MOSTI akan menguruskan supaya pimpinan-pimpinan dari sektor awam dan swasta negara untuk menjadi panel hakim semasa sesi uji bakat fizikal di enam lokasi seluruh negara.

“Peserta yang mempunyai idea yang terbaik akan mara ke pentas akhir dan berpeluang memenangi modal awal dan sokongan secara langsung untuk membantu mengkomersialkan idea mereka ke pasaran. Peringkat-peringkat saringan adalah seperti berikut:

“Video-video idea dari seluruh negara disaring (tiada had jumlah penyertaan);Idea-idea terpilih dipanggil untuk uji bakat fizikal (tiada had jumlah penyertaan); 56 idea terbaik yang melepasi uji bakat fizikal akan menyertai program realiti Innovathon.

“Selama tujuh minggu, setiap minggu lapan orang peserta akan membentangkan idea produk mereka kepada panel yang terdiri dari 100 orang pengguna/syarikat pengguna dan disiarkan di saluran Astro pada tayangan perdana jam 9 malam setiap hari Sabtu; Selepas tujuh minggu, lapan peserta akan dipilih ke peringkat akhir; Setiap pemenang mingguan yang dipilih ke peringkat akhir akan diberikan modal asas untuk membina prototaip produk digital mereka bagi tujuan demonstrasi di peringkat akhir,” ujar Rafizi.

Kata beliau lagi,pemenang-pemenang di peringkat akhir akan diberikan modal untuk memulakan syarikat pemula mereka dengan bimbingan agensi kerajaan dan pelabur strategik swasta.

“Sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan modal asas dan modal awal kepada pemenang-pemenang.

“Program Innovathon akan disiarkan di seluruh negara dengan kerjasama Astro dan memaparkan proses pembangunan produk digital di sebalik tabir dari peringkat percambahan idea ke penghasilan prototaip sehinggalah ke proses awal komersial.

“Penyertaan ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau had umur. Tiada pengalaman terdahulu atau kelayakan dalam pembangunan idea dan produk diperlukan, malah golongan pelajar dari peringkat sekolah menengah dan universiti juga dialu-alukan.

“Kami berharap usaha melalui Innovathon ini akan membina keyakinan lebih ramai bakat dalam masyarakat untuk membina kerjaya dan inovasi dalam bidang ekonomi digital,” katanya.

Rafizi menyatakan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna teknologi yang tinggi, dengan tahap penggunaan telefon pintar dan internet yang tinggi, sistem pembayaran digital yang matang, dan penggunaan media sosial yang meluas.

“Walau bagaimanapun, kita jarang melihat diri kita sebagai pencipta atau inovator yang boleh membangunkan produk digital dan tech untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Menurut Indeks Inovasi Global, penarafan inovasi Malaysia semakin merosot sejak sedekad yang lalu.

“Kemerosotan budaya inovasi dalam masyarakat merencatkan usaha negara menambah baik kandungan ekonomi ke arah bernilai tinggi. Usaha meningkatkan gaji purata rakyat bergantung kepada pertambahan peluang pekerjaan baru dalam bidang digital dan tech yang lazimnya menawarkan gaji yang lebih tinggi.

“Lebih ramai rakyat Malaysia yang membudayakan inovasi dan melahirkan produk digital dan tech yang dikomersialkan, lebih banyak syarikat-syarikat berasaskan ekonomi digital dan tech yang berkembang di Malaysia.

“Penyediaan ekosistem untuk merancakkan ekonomi digital dan tech adalah salah satu tumpuan Kementerian Ekonomi untuk menstrukturkan semula ekonomi negara. Antara langkah penting ke arah ini ialah mewujudkan bakat-bakat digital dan tech yang boleh dibimbing menjadi usahawan digital dan tech,” kata beliau.

Tegas Rafizi, keperluan meningkatkan bakat digital dan tech ini adalah prasyarat untuk menjayakan ekosistem ekonomi digital yang dipacu kerajaan dan swasta.

“Saya yakin dengan bertambahnya bakat-bakat digital dan tech secara mendadak, apabila dipadankan dengan insentif dan bimbingan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang ada, perkembangan ekonomi digital dan tech negara akan lebih pesat.

“Usaha ini bermula dengan mengarus perdanakan inovasi dalam masyarakat. Kami berhasrat untuk memecahkan pengadang minda (“mental block”) dalam masyarakat bahawa inovasi hanya terpakai dalam bidang-bidang tertentu yang rumit dan saintifik, atau hanya orang yang berkelayakan tinggi sahaja yang berpeluang terlibat dalam inovasi.

“Negara yang berjaya membina ekonomi digital dan tech yang pesat adalah negara yang masyarakatnya mengangkat penambahbaikan berterusan dalam segenap aspek kehidupan sebagai inovasi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat