Anwar usaha bina hubungan baik dengan negeri pembangkang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha membina hubungan baik dengan kerajaan negeri yang diterajui pembangkang bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa didahulukan selaras konsep MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini dapat dibuktikan apabila Kerajaan Persekutuan tetap mengutamakan apa-apa keperluan yang diminta kerajaan negeri yang bersifat segera dan mendesak, walaupun terdapat perbezaan politik.

Beliau berkata sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Golok, Kelantan, berikutan masalah banjir yang sering dialami negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) itu.

“Kerana masalah banjir ini serius, masalah banjir di Kelantan lebih berat daripada masalah banjir di Permatang Pauh, jadi walaupun kita boleh bantu sedikit di sini (Pulau Pinang) kita kena beri keutamaan (Kelantan) walaupun kerajaan negeri itu berbeza parti, ini kenyataan.

“Sebab itu saya nak bezakan fakta dan rekaan, rekayasa, di dalam politik kita kena beringat,” katanya dan menambah apa yang dituturkan mestilah berdasarkan fakta dan bukan semberono.

Anwar berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di Bukit Mertajam pada Jumaat.

Anwar berkata dalam pertemuannya dengan Menteri Besar Kelantan, beliau juga mengambil maklum cadangan-cadangan penambahbaikan yang diutarakan, dengan sebahagiannya dipersetujui beliau dan turut mengarahkan pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera.

Mengulas lanjut, Anwar berkata hubungan baik dengan kerajaan negeri juga dibuktikan menerusi lawatannya ke Terengganu esok, apabila Menteri Besar Terengganu sendiri turut mengalu-alukan kedatangan tersebut dan memberikan kerjasama yang baik.

“Itulah cara kerjasama Persekutuan dengan negeri, masa pilihan raya kita lawanlah,  lepas itu amanlah, baru boleh jaga kehidupan rakyat.

“Jadi itulah yang saya harap dalam kalangan kita supaya ada semangat bahawa perbezaan ini mempertajam hubungan persaudaraan dalam kalangan kita,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata walaupun terdapat naratif yang mengatakan bahawa beliau tidak memberikan peruntukan sama rata kepada negeri, namun hakikatnya, peruntukan untuk empat negeri yang dipimpin PN tetap ditambah dalam Belanjawan 2023.

“Peruntukan bagi Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah pun saya tambah, walaupun (Kedah) ada celaru sikit,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat