Umno cuma harapkan ihsan PKR untuk sahkan usul – Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sekiranya sebelum ini dimainkan naratif kononnya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘membantu’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Kerajaan Perpaduan namun kini situasi sebaliknya yang terjadi.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasanya memberi pengecualian kepada Umno agar tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno seolah-olah ‘menghalalkan’ usul yang tidak sah itu.

Dalam muat naik podcast Keluar Sekejap Khairy dan Shahril Hamdan pada Selasa mereka mengupas isu Menteri KDN mengecualikan usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semak usul tambahan yang dibawa dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 itu dan mendapati wujudnya pelanggaran Perlembagaan Umno yang mewajibkan setiap jawatan dipertandingkan setiap tiga tahun atau 18 bulan selepas 3 tahun itu tamat. Tak boleh dikecualikan.

“Setiap jawatan mesti dipertandingkan setiap kali pemilihan parti… pokok pangkalnya begitu.

“Susulan itu, RoS keluar surat menyatakan tindakan ini tidak sah, RoS tidak kata Umno nak diharamkan,” katanya.

Jelas Khairy, RoS cuma memaklumkan kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam surat berkenaan bahawa Umno perlu mengambil tindakan pembetulan (corrective measures).

“Umno mesti buka jawatan Presiden dan Timbalan Presiden untuk dipertandingkan, cuma Umno pilih untuk tidak buat tindakan pembetulan.

“Umno bergantung kepada Seksyen 70 Akta Pertubuhan yakni Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasa besar, kuasa mutlak untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan termasuk parti politik yang berdaftar di bawah RoS daripada mana-mana peraturan di bawah peruntukan tersebut,” kata beliau lagi.

Ulas Khairy, meskipun betul tindakan itu memandangkan dalam akta tersebut menggariskan bahawa Menteri KDN ada kuasa mutlak.

“Cuma apa yang kita nak sampaikan ialah kenapa Umno tidak melaksanakan tindakan pembetulan dan bergantung harap kepada ihsan daripada menteri dan sebab-sebab tidak diberikan.

“Malah di Parlimen, Saifuddin kata beliau dah bincang dengan penasihat undang-undang KDN dan sebagainya, keputusan beliau sah dari segi undang-undang tapi itu bukan isu dia.

“Isunya kenapa Umno bergantung harap kepada pengecualian menteri dan tidak buka jawatan Presiden dan Timbalan untuk dipertandingkan? Usul itu jelas tidak sah! Itu isu dia,” bidasnya.

Menurut bekas Ahli Parlimen Rembau itu, dari segi keabsahan undang-undang beliau tidak pertikai, isunya kenapa Umno parti keramat sanggup ambil opsyen untuk dapat ehsan daripada menteri bukan daripada parti.

“Saya dengar dikalangan orang Umno sekarang ini terutamanya dikalangan penyokong Presiden dan sebagainya mereka kata dah dapat pengecualian, dah selesai ‘move on’ tak payah bincang tentang isu ini lagi.

“Pengecualian itu diberi dan itulah yang menghalalkan usul yang tidak sah ini.

“Kerana RoS sebut dalam surat bahawa perbetulkan keadaan tak sebut pun soal nak diharamkan (Umno). Jadi jangan ditakutkan seolah-olah Menteri Dalam Negeri telah membuat satu favour yang besar untuk Umno, no,” katanya.

Malah ujar beliau, ada orang dengan sinis mengatakan bahawa selama ini mungkin Perdana Menteri berterima kasih dan bergantung harap kepada Umno sebab dapat menubuhkan Kerajaan Perpaduan ini dan sekarang ini Umno pula yang bergantung harap kepada PKR melalui Saifudddin.

Shahril Hamdan pula menambah, hujah yang dimainkan selama ini telah memakan diri Umno.

“Kes ini menunjukkan hujah yang dia pakai akhirnya memakan diri iaitu Umno yang selamatkan Anwar Ibrahim, percaturan politik.

“Akhirnya hujah yang diguna pakai makan diri, orang akan cakap Umno bergantung harap kepada PKR dan bukan sebaliknya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat