KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka bakal diadakan dalam tempoh tiga atau empat akan datang,” ramal Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil.

Dalam ucapan ucapannya dalam majlis pertemuan dengan veteran Johor semalam, Isham membayangkan Johor mungkin mengadakan PRN dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Isham yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak turut membuat ramalan dengan yakin bahawa UMNO berpotensi memenangi sehingga 42 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Selain itu kata beliau, selepas ancaman Covid-19 reda dan hampir semua rakyat negara ini mendapat suntikan vaksin, PRN wajar diadakan.

Malah Isham mengakui beliau lebih suka PRN diadakan lebih awal dan berasingan daripada pilihan raya umum.

“Kita buat PRN Johor dulu sebelum PRU ke-15, insya Allah, dalam tiga atau empat bulan ini,” katanya.

Isham berkata antara sebab mengapa PRN wajar diadakan di Johor ialah kerana kerajaan selalu terganggu oleh “pengkhianat” dalam kerajaan.

“Macam mana kita nak buat keputusan di peringkat dasar apabila orang (dari) puak pengkhianat Umno, iaitu Bersatu, selalu mengganggu,” katanya sambil memberikan contoh dalam isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Petikan ucapan Isham selama hampir satu jam itu dimuat naik di akaun media sosialnya semalam.

Untuk rekod ketika ini kerajaan Johor dipimpin oleh Umno dengan sokongan Bersatu dan PAS. Dengan kematian Adun Kempas, Datuk Osman Sapian, pada 21 Dis tahun lalu, gabungan itu memiliki 28 kerusi DUN berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

PH sebelum ini menyatakan pendirian mereka yang tidak mahu PRN diadakan.

Isham juga meramalkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terlepas kerusi Pagoh dalam PRU akan datang berdasarkan pola pengundian yang ada dan kecenderungan yang dilihat pada PRN Melaka 20 Nov tahun lalu.

Beliau meramalkan dalam PRU akan datang Muhyiddin hanya akan memperoleh kira-kira 8,000 undi daripada lebih 51,000 undi di Pagoh.