KUALA LUMPUR – Hari ini Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik sejurus membangkitkan isu cabaran asimilasi kaum bukan Melayu di Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu memberi contoh penggunaan chopstick di kalangan masyarakat Cina yang dianggap beliau sebagai kesukaran dalam asimilasi penduduk bukan Melayu di negara ini.

Dr Mahathir berkata, masyarakat Cina di Indonesia dapat diasimilasikan kerana jumlahnya yang secara relatif kecil, manakala jumlah warga bukan Melayu di Malaysia agak signifikan.

“Mereka (orang Cina di Malaysia) memelihara komuniti, budaya dan cara hidup mereka.

“Misalnya, orang Cina makan menggunakan chopstick, mereka tidak makan guna tangan. Mereka tidak menyerap cara orang Malaysia makan.

“Mereka mengekalkan penggunaan chopstick yang merupakan identiti China, bukan Malaysia, dan banyak lagi perkara lain,” katanya dalam sesi dialog ketika pelancaran memoir terbarunya, bertajuk ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’, semalam.

Selain itu, Mahathir juga berkata masih ada kecenderungan komuniti di Malaysia dalam mengekalkan perkaitan dengan negara asal, walaupun lahir dan dibesarkan di Malaysia.

Bagi Mahathir, ia merupakan antara faktor wujudnya jurang di kalangan rakyat.

“Oleh kerana identiti kaum di kalangan rakyat, tidak akan ada parti politik pelbagai kaum yang diyakini oleh semua orang.

“Politik di Malaysia sentiasa berasaskan kaum,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir membangkitkan warta berketurunan Arab dan India yang “menjadi Melayu” dengan mengorbankan identiti etnik mereka dan menyerap nama, bahasa dan budaya Melayu.

“Mereka diterima sebagai Melayu oleh orang Melayu, walau jelas yang mereka bukan Melayu,” katanya lagi.

Mahathir pada mulanya diminta berkongsi sebabnya untuk menubuhkan Pejuang, yang merupakan sebuah lagi parti berasaskan Melayu.

Sementara itu, Mahathir mendakwa tidak seperti nenek moyang mereka yang berhijrah ke Malaysia, generasi muda kaum itu yang lahir di Malaysia masih mengekalkan hubungan dengan China.

“Jadi ini yang memisahkan masyarakat. Ada orang Melayu, Cina Malaysia, India Malaysia. Oleh sebab ini, mereka tidak dapat diasimilasikan.

“Di negara majmuk yang lain, sebaik saja mereka menjadi warga, mereka identifikasikan diri dengan negara itu saja dan tidak lagi dengan negara asal nenek moyang mereka,” katanya memetik Malaysiakini.

Mahathir juga memetik bekas presiden Amerika Syarikat, Dwight David Eisenhower sebagai contoh, menerusi peranannya dalam Perang Dunia Kedua.

Eisenhower adalah presiden Amerika Syarikat ke-34. Sebelum menjadi presiden pada Januari 1953, dia merupakan pegawai tinggi tentera yang dilantik untuk mengetuai peperangan melawan Jerman dalam Perang Dunia Kedua.

Katanya, Eisenhower mengetuai tentera Amerika Syariakt untuk berdepan Jerman walaupun dia dari keturunan Jerman, “kerana dia melihat dirinya sebagai orang Amerika”.