Kerajaan Rancang Wujudkan Pejabat Penasihat Pertahanan Di Mesir

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merancang untuk mewujudkan Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir,” beritahu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Kata beliau, pihaknya turut mengkaji keperluan untuk menggunakan Penasihat Pertahanan Malaysia sedia ada di Pejabat Perwakilan Malaysia (MALAWAKIL) berhampiran.

Ikmal Hisham berkata, ia meliputi MALAWAKIL Riyadh, Arab Saudi atau Ankara, Turki, untuk diakreditasikan ke Mesir bagi membantu sebarang urusan berkaitan hubungan pertahanan antara Malaysia dengan Mesir.

“Malaysia sebelum ini tidak pernah membuka Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir, hanya ada di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Asia Barat.

“Bagaimanapun, cadangan mewujudkan atase (Penasihat Pertahanan) di Mesir adalah cadangan yang baik.

“Pembukaan Pejabat Penasihat Pertahanan ini dilihat sebagai usaha negara mendukung kertas putih pertahanan yang menitikberatkan usaha ke arah diplomasi pertahanan, sama ada pada peringkat bilateral dan multilateral.

“Ia berpotensi untuk memperluaskan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan seperti latihan ketenteraan, pendidikan ketenteraan dan industri pertahanan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan semula atase tentera di Mesir.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai hubungan pertahanan antara Malaysia dengan Mesir dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza pula, Ikmal Hisham berkata, perkembangan semasa di Mesir menjanjikan masa depan positif.

Memetik BH Beliau berkata, ia kerana Kerajaan Mesir kini ditadbir oleh Presiden Abdel Fattah Al-Sisi yang juga komander tertinggi dalam Majlis Agung Pasukan Tentera (SCAF) dan bekas Menteri Pertahanan.

“Justeru, ia boleh dimanfaatkan oleh Malaysia melalui hubungan pertahanannya dengan Mesir.

“Hubungan sedia ada antara Mesir dengan Israel juga boleh memberi kesan yang positif kepada Malaysia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza, khususnya menerusi Kementerian Pertahanan Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara am,” katanya.