Amir Masdi Melancarkan Album Kedua ‘AM:PM’: Perjalanan dua bahagian yang menyatukan dua dunia

- Advertisement -

Amir Masdi, penyanyi popular yang mula menapak dalam industri muzik Malaysia melalui program realiti TV, sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran album keduanya, AM:PM. Ini bukan sekadar album biasa, tetapi satu karya yang unik, memecahkan konvensi biasa dengan konsep dua bahagian yang saling melengkapi “AM” dan “PM”, dua segmen yang memuatkan enam lagu setiap satu.

Amir, yang kini berusia 28 tahun, bukan sahaja memperlihatkan kematangannya sebagai penyanyi dalam album ini, tetapi juga sebagai pencipta lagu. Bersama penerbit terkenal, Edry Abdul Halim, Amir telah menulis kesemua 12 lagu dari awal, merakamkan dan menghasilkan album ini di Volta Lab Studios, Manchester. “AM:PM” bukan sahaja menggambarkan nama beliau, Amir Masdi (AM), tetapi juga “Projek Manchester” (PM), sebuah projek yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi di luar negara.

Mengapakah “AM:PM” begitu istimewa? Menariknya, album ini dilancarkan dalam dua bahagian berasingan, dengan enam lagu pertama dari segmen “AM” yang telah dilancarkan pada Oktober 2024. Bahagian “PM” pula dijadualkan untuk diterbitkan pada awal tahun 2025. Konsep ini membolehkan peminat menikmati muzik Amir dalam fasa berperingkat, memberikan mereka ruang untuk mendalami setiap sisi kreativiti dan emosi yang Amir curahkan dalam karya-karyanya. 

Amir menjelaskan bahawa keputusan untuk membahagikan album kepada dua segmen ini memberi peluang kepada peminat dan pendengar untuk “mencerna” muziknya dengan lebih mendalam. “Saya rasa bila kita split into two, fans dan pendengar ada masa dan ruang untuk fokus pada satu bahagian dahulu,” katanya. Ini memberikan keunikan kepada album tersebut, sekali gus mewujudkan rasa penantian bagi bahagian kedua yang bakal dilancarkan tahun depan.

Proses pembikinan album ini turut menggambarkan kerjasama merentasi benua. Dengan Amir di Malaysia dan Edry di Manchester, perbezaan waktu siang dan malam turut menjadi inspirasi kepada nama “AM:PM”. “Ia bukan sahaja mengenai nama saya, tetapi juga menggambarkan bagaimana kami bekerja pada waktu siang dan malam tanpa berhenti untuk menghasilkan karya ini,” jelas Amir. Pendekatan kreatif ini memberi sentuhan personal dan simbolik kepada album tersebut.

Bekerja di luar negara juga membawa cabaran tersendiri bagi Amir. Merakamkan album di Manchester bukanlah tugas mudah. Sepanjang 18 hari di sana, Amir bersama pasukan bukan sahaja merakamkan vokal tetapi juga menghasilkan muzik Video di tengah musim sejuk. “Kami shoot video pada siang hari dan masuk studio untuk rakaman pada malam hari, semuanya dalam keadaan cuaca sejuk,” katanya. 

Promosi album*AM:PM juga dilakukan secara agresif, bermula dengan pemasangan poster gergasi di Billboard di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Bukit Bintang sebulan sebelum pelancaran. Ini memberikan isyarat awal kepada peminat tentang apa yang bakal mereka nikmati.

Selain itu, pelancaran album ini turut dimeriahkan dengan pelbagai barangan istimewa seperti baju-T, lanyard, cawan, dan hoodie yang dihasilkan khas untuk mengiringi pelancaran album. “Ini sesuatu yang sangat eksklusif buat saya, bukan saja untuk album tetapi sepanjang kerjaya seni saya,” kata Amir.

Menambah kepada kehangatan album ini, salah satu lagunya, “Nur Cinta”, telah dipilih sebagai lagu tema utama untuk drama rantaian “Andai Tiada Dia” yang bakal ditayangkan di Astro Ria. Lagu ini mendapat sambutan hangat dan pastinya menambah lagi tarikan kepada album AM yang baru dilancarkan.

Dengan enam lagu pertama daripada “AM” telah dilancarkan, peminat kini menantikan bahagian kedua album “PM” yang dijadualkan untuk diterbitkan pada awal tahun 2025. “Kami mahu memberikan yang terbaik kepada peminat dan membiarkan mereka menikmati setiap bahagian album ini secara mendalam sebelum mengeluarkan keseluruhan karya,” tambah Amir.

Dalam era di mana muzik sering kali dimakan oleh masa dan kelajuan penstriman, Amir Masdi hadir dengan pendekatan yang penuh sabar dan berlapis. AM:PM adalah satu karya yang menceritakan evolusi dan emosi seorang artis yang berdedikasi, bekerja keras untuk memberikan sesuatu yang segar dan unik kepada peminat. Dan dengan konsep album bersiri ini, Amir Masdi terus membuktikan bahawa dia adalah seorang bintang yang tidak takut untuk keluar dari zon selesa dan mencipta sesuatu yang luar biasa.

Album yang diterbitkan oleh AR United Music, syarikat rakaman milik Amir sendiri dan diedarkan oleh Nova Music itu dilancarkan secara rasmi pada satu majlis istimewa yang diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2024.

Siaran perdana video muzik rasmi “Nur Cinta”, single peneraju dari album ‘AM’ akan berlangsung pada 12 Oktober jam 8 malam di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://youtu.be/4TMWHGc2eIw 

ALBUM TITLE : AM:PM
Side 1(AM)
1. Luar Kotak
2. Calar
3. Take Me Home
4. Langit Biru
5. Bakal Kekasih
6. Nurcinta

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat