Ahli Parlimen Kepong dakwa isu sah laku pasport lebih 10 tahun adalah sebab kesilapan perancangan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng meletakkan kesalahan ke atas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tentang tempoh sah laku pasport yang melebihi 10 tahun yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia terkandas di luar negara kerana masalah dengan syarikat penerbangan.

Dalam satu kenyataan, beliau menyambut baik pengenalan pasport sah selama 10 tahun pada 1 Julai lalu sebagai usaha memudahkan perjalanan tetapi pelaksanaannya perlu dilakukan dengan baik.

“Kerajaan tidak boleh menjadikan pasport rakyat Malaysia sebagai bahan uji kaji dan kemudian mengetepikan masalah itu sebagai isu teknikal. Ini kegagalan serius dari segi perancangan dan pengujian,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, JIM membuat keputusan menghentikan serta-merta pengeluaran pasport yang memiliki tempoh sah melebihi 10 tahun selepas ada rakyat Malaysia mengadu ada masalah ketika daftar masuk ke dalam penerbangan.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata masalah tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada kekeliruan dengan syarikat penerbangan berhubung syarat bahawa pasport perlu mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan untuk perjalanan.

Beliau berkata semakan dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengesahkan bahawa tiada peraturan yang melarang pasport mempunyai tempoh sah melebihi 10 tahun.

Bagaimanapun, sebagai langkah sementara, Jabatan Imigresen memutuskan untuk hanya mengeluarkan pasport dengan tempoh sah maksimum 10 tahun sementara perkara tersebut diselesaikan dengan ICAO dan syarikat penerbangan.

Zakaria turut berkata pemegang pasport sedia ada yang mempunyai tempoh sah melebihi 10 tahun akan menerima pasport gantian secara percuma, dengan pasport baharu itu mempunyai tempoh sah maksimum 10 tahun.

Lim berkata Jabatan Imigresen mengeluarkan 26,000 pasport baharu dengan tempoh sah melebihi 10 tahun kerana tempoh sah yang masih berbaki daripada pasport terdahulu dibawa ke pasport yang baharu.

Kesilapan tersebut menyebabkan kerugian kewangan kepada negara dan Kementerian Dalam Negeri digesa mengarahkan audit bebas segera ke atas masalah itu.

“Sebanyak 26,000 pasport dikeluarkan sebelum masalah itu diperbetulkan. Kenal pasti siapa yang meluluskannya. Dedahkan kosnya. Pastikan mereka bertanggungjawab. Mereka yang bertanggungjawab tidak boleh berselindung di sebalik alasan teknikal,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial mendakwa beberapa rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk pulang dari Zimbabwe kerana pasport mereka mempunyai tempoh sah 10 tahun enam bulan, selepas mereka memperbaharui pasport enam bulan sebelum dokumen lama tamat tempoh.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat