PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, pembangunan produk hiliran serta peluasan pasaran dalam usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pengukuhan sektor agrikomoditi tidak boleh hanya tertumpu kepada pengeluaran, sebaliknya perlu meliputi keseluruhan ekosistem industri.
Menurut beliau, usaha itu turut merangkumi pengkomersialan hasil penyelidikan dan penghasilan lebih banyak produk bernilai tambah bagi meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi dalam jangka panjang.
“Pekebun kecil bukan sekadar angka dalam laporan. Usahawan bukan hanya nama dalam senarai peserta.
“Di sebalik setiap angka itu ada keluarga, kehidupan dan harapan yang perlu kita jaga,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Santunan Bakti KPK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Noraini berkata, setiap sektor di bawah KPK termasuk sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf mempunyai kekuatan, cabaran serta peluang tersendiri yang perlu diberikan perhatian.
Pada masa sama, kementerian akan terus membangunkan bidang baharu seperti biobahan api dan biojisim, selain meningkatkan penyertaan generasi muda menerusi Skuad Agrikomoditi KPK.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan sektor agrikomoditi terus memberikan sumbangan kukuh kepada ekonomi negara dan manfaatnya dapat dirasai oleh industri, pekebun kecil, usahawan serta rakyat.
Pada 2025, sektor agrikomoditi menyumbang RM90.96 bilion atau 5.24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia.
Jumlah itu meningkat 4.01 peratus berbanding RM87.46 bilion yang dicatatkan pada 2024.
Sektor pertanian turut berkembang sebanyak 2.6 peratus pada suku pertama 2026, disokong antaranya oleh prestasi subsektor kelapa sawit.
Bagaimanapun, Noraini mengingatkan bahawa pencapaian tersebut tidak seharusnya menyebabkan kementerian dan pemain industri berada dalam keadaan selesa.
Katanya, anggaran awal bagi suku kedua menunjukkan sektor pertanian, termasuk subsektor kelapa sawit, mula berdepan tekanan.
“Prestasi sektor ini boleh berubah mengikut keadaan pengeluaran, harga pasaran dan perkembangan ekonomi global.
“Oleh itu, pencapaian tahun 2025 tidak boleh menjadikan kita selesa,” katanya.
Justeru, beliau mahu KPK bekerja dengan lebih tersusun bagi mengekalkan momentum pertumbuhan, menangani cabaran semasa dan memastikan sektor agrikomoditi terus berdaya saing.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini turut menggesa warga KPK menambah baik kaedah bekerja, memanfaatkan teknologi dan mengurangkan proses yang tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.
Menurutnya, teknologi dan kecerdasan buatan boleh membantu mempercepatkan kerja, menyusun data serta meningkatkan mutu analisis dan proses membuat keputusan.
Pada majlis berkenaan, seramai 23 warga KPK menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala empat pesara kementerian diraikan menerusi Santunan Bakti.



