Jika Tak Mampu Tadbir, Anwar Boleh Bersara – Zuraida

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jika tidak mampu untuk mentadbir, mungkin sudah tiba masanya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara dan memohon maaf kerana mengingkari janji beliau kepada rakyat.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, adalah amat dangkal untuk kita menidakkan hak rakyat untuk menuntut janji tersebut dengan mengatakan kerajaan ini masih lagi muda.

“Bagaimanakah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mahu rakyat bersabar kerana Anwar sendiri berjanji kepada rakyat yang beliau akan berupaya untuk menyelesaikan hal rakyat dengan secepat mungkin.

“Lupakah kita kepada ucapan Anwar Ibrahim pada tanggal 26 Februari 2008 di Tanjung Dawai, Kedah yang berbunyi “Hari ini (8 Mac 2008) kita diumumkan menang, esok (9 Mac 2008) kita umumkan penurunan harga minyak.

Ini janji beliau pada tahun 2008 dan saya rasa jika kita bukukan kesemua janji-janji beliau kepada rakyat bermula daripada tempoh beliau dipecat daripada UMNO (1998) sehingga kini, mungkin ratusan buah buku akan dapat diterbitkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tuntasnya di sini kata beliau, Anwar telah berjanji dan kini rakyat sedang menuntut semua janji-janji yang telah diikrarkan oleh beliau.

Zuraida berkata demikian sebagai maklum balas kepada Hassan yang membuat satu kenyataan kononnya kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri ke-10, Anwar merupakan sebuah kerajaan yang masih “bayi” dan berharap agar rakyat dapat bersabar dengan keletah kerajaan ini.

“Sejujurnya, saya amat menghargai pandangan-pandangan yang sebelum ini dilontarkan oleh Hassan Karim terutamanya tentang perkara yang melibatkan hal rakyat, namun pada kali ini saya tidak dapat bersetuju dengan beliau.

“Anwar bukanlah seorang muka baru dalam pemerintahan dan pentadbiran negara kerana beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan memegang beberapa jawatan kabinet selama lebih kurang 16 tahun dari 1982 hingga 1998.

“Begitu juga dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah memegang jawatan kabinet selama 14 tahun dari 2004 hingga 2018 dan ramai lagi pemimpin daripada UMNO yang telah dilantik sebagai anggota kabinet di dalam kerajaan beliau.

“Ini belum lagi dikira anggota kabinet daripada DAP, Amanah dan Keadilan yang pernah dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri selepas kemenangan pertama Pakatan Harapan pada PRU-14 yang lalu,” bidasnya.

Justeru itu, tegas Zuraida amatlah tidak wajar untuk kita gelarkan kerajaan ini sebagai kerajaan yang tiada pengalaman kerana ia dianggotai oleh para pemimpin yang pernah duduk di dalam Kabinet sebelum ini.

“Pada hemat saya, kerajaan pada ketika ini gagal dan tidak dapat keluar daripada kegagalan ini kerana sikap Anwar Ibrahim sendiri yang egoistik dan tidak cekap mentadbir negara.

“Mungkin pada era 1980an dulu, beliau merupakan seorang pemimpin yang masih segar dan berfikiran tajam disamping mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir, yang membolehkan beliau menjalankan tugas sebagai anggota kabinet dengan baik.

“Namun, pada ketika ini, beliau mungkin sudah terlalu lelah akibat terlibat dengan drama politikal yang tidak berkesudahan, hingga menumpulkan pemikirannya, sekali gus menyebabkan beliau terkesima dan termangu-mangu apabila akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat