KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan merobohkan rumah aktivis muslim Afreen Fatima, yang dilakukan oleh Kerajaan India atas alasan-alasan yang tidak munasabah.

Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zakaria Abdul Hamid berkata pelanggaran hak asasi ini adalah suatu perkara yang amat memalukan dan tidak seharusnya berlaku di dalam negara republik tersebut.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan pernah menjadi contoh pembentukan undang-undang kepada negara-negara komanwel, khususnya di Asia, Negara India seharusnya bertindak mengikut lunas undang-undang dan bukannya di atas paksi sentimen politik semata-mata.

“Sentimen politik perkauman yang dimainkan oleh parti pemerintah di India iaitu Bharatiya Janata Party yang diketuai sendiri oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, seharusnya dihentikan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zakaria menjelaskan pihaknya berharap agar satu rekonsiliasi dilakukan di Negara India antara penduduk Hindu dan Muslim agar insiden keganasan dan rusuhan di negara tersebut ditamatkan dan keamanan dapat dicapai.

Afreen Fatima merupakan seorang pelajar Universiti Jawaharlal Nehru New Delhi merupakan aktivis masyarakat yang memperjuangkan isu-isu wanita Islam di India.

Terbaharu kediaman aktivis itu dirobohkan dan ini menunjukkan satu lagi bukti kerakusan kerajaan India di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi menerusi parti nasionalis, Bharatiya Janata Party (BJP) yang menindas umat Islam di India.

Menurut laporan Outlook India.com kerajaan BJP telah merobohkan rumah Afreen Fatima hanya kerana dia dan bapanya, Javed Ahmad Shah dituduh terlibat dalam bantahan di Prayagraj Uttar Pradesh pada Jumaat lalu, dan dakwaan melemparkan batu ke arah polis susulan kenyataan menghina Nabi Muhammad S.A.W oleh bekas jurucakap BJP, Nupur Sharma.