Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ICAO) pada Isnin memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. Mangsa termasuk 196 warganegara Belanda dan 38 warganegara atau penduduk Australia, menurut kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh kerajaan Belanda dan Australia.
Kedua-dua kerajaan menyatakan bahawa Majlis ICAO akan meneliti bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.
Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, dan telah ditembak jatuh di timur Ukraine ketika pertempuran hebat berlaku antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman ke atas dua lelaki Rusia dan seorang lelaki Ukraine secara in absentia atas kesalahan membunuh berhubung tragedi tersebut. Rusia mengecam keputusan itu sebagai “memalukan” dan menegaskan tidak akan mengekstradisi warganya.
ICAO yang berpangkalan di Montreal belum memberikan sebarang kenyataan balas kepada permintaan komen. Kes ini difailkan oleh Australia dan Belanda pada tahun 2022.
Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp menyifatkan keputusan itu sebagai “langkah penting ke arah mencari kebenaran serta menuntut keadilan dan akauntabiliti bagi semua mangsa MH17 serta keluarga mereka.”
“Keputusan ini turut menyampaikan mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa sesebuah negara tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan,” tambahnya.
Belanda dan Australia kini mahu Majlis ICAO mengarahkan Rusia untuk memulakan rundingan mengenai pampasan.
Menteri Luar Australia, Penny Wong pula menyambut baik keputusan tersebut dan menggesa ICAO agar bertindak segera dalam menentukan bentuk pampasan.
“Kami menyeru Rusia untuk akhirnya mengakui tanggungjawab terhadap jenayah keganasan yang dahsyat ini dan membayar ganti rugi atas perbuatan melampau mereka, seperti yang ditetapkan dalam undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.