CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyatakan bahawa, berdasarkan Aspirasi Keluarga Malaysia, kerajaan telah meletakkan matlamat untuk mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalanraya sebanyak 50% menjelang 2030.

Ini berikutan jumlah kematian yang tinggi dicatatkan di negara ini akibat kemalangan jalanraya iaitu sebanyak 14,308 kes bagi tempoh 3 tahun sejak 2019 sehingga tahun lepas.

Jelas Perdana Menteri, dari jumlah tersebut, 50% atau 7,077 kes adalah melibatkan golongan belia di negara ini.

Sehubungan dengan itu, keadaan ini menjadi cabaran besar kepada agensi penguatkuasaan di negara ini untuk membendungnya, kata beliau lagi.

Perdana Menteri bercakap demikian ketika melancarkan Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di peringkat Parlimen Bera pagi tadi.

Sejak mula dilaksanakan, sebanyak 404 penduduk orang asli dalam kawasan Parlimen Bera yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, telah berjaya mendapat lesen memandu kelas B2 dibawah inisiatif BLKM.

Dengan pemilikan lesen kelas B2 ini, Perdana Menteri berharap golongan berkenaan dapat meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain mengukuhkan pasaran tenaga kerja negara.

BLKM adalah antara beberapa insentif cakna rakyat yang diteruskan pentadbiran beliau sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini pada Ogos tahun lepas, untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan OKU mendapatkan lesen memandu dalam keadaan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Selain BLKM, program subsidi upah (PSU) dan Penjana Kerjaya yang membolehkan hampir 3 juta orang mendapatkan pekerjaan disamping mewujudkan 320,000 peluang pekerjaan baru, turut diwujudkan kerajaan.

Di akhir ucapannya Perdana Menteri mengingatkan penerima BLKM agar menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin dan
berhemah dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya, supaya tidak menjadi sebahagian daripada statistik kadar kemalangan jalan
raya di negara ini.