KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap mahasiswa yang terbabit dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu dihentikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan sama juga diambil terhadap himpunan oleh ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berlangsung di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh minggu lalu.
“Tindakan (polis) sebelum ini iaitu siasatan terhadap semua mahasiswa yang terbabit dalam himpunan bebas rasuah, siasatan dihentikan dan tidak ada tindakan akan diambil.
“Juga mogok lapar, tunjuk perasaan mengenai SOSMA juga tidak akan diambil tindakan,” katanya menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Anwar juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menghapuskan syarat bagi penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan.
Anwar berkata pindaan itu akan memudahkan mana-mana kumpulan yang berniat untuk mengadakan perhimpunan aman.
“Ini bermakna keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemilik premis, seperti yang disebut di bawah beberapa seksyen, akan dipinda dan diketepikan.
“Seksyen 11 akta yang memerlukan kelulusan daripada pemilik premis atau penduduk, yang dipertikaikan sekarang, ini akan dikeluarkan daripada peraturan sedia ada,” kata Anwar semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dengan cadangan pindaan itu, Anwar berkata, semua siasatan yang sedang dijalankan di bawah seksyen 11 akta itu akan dihentikan, termasuk penganjur dua perhimpunan baru-baru ini.
Ia melibatkan himpunan antirasuah yang diketuai pelajar di Kuala Lumpur pada bulan lalu, serta protes di luar Penjara Sungai Buloh baru-baru ini.