Pembatalan HSR usaha perkasa kewangan berdepan pandemik

- Advertisement -

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) membabitkan Malaysia dan Singapura sepanjang 350 kilometer ditamatkan kedua-dua negara pada 1 Januari lalu. Keputusan itu dibuat ekoran kedua-kedua negara gagal mencapai kata sepakat mengenai cadangan perubahan yang dibuat Malaysia menjelang penghujung tahun lalu.

Perubahan utama berkenaan membabitkan perubahan Assets Company (AssetsCo) sebagai pembekal sistem dan operator rangkaian projek HSR. Jika perubahan itu dipersetujui, kerajaan mampu menjimatkan wang sehingga RM60 bilion. Penjimatan ini dalam bentuk jaminan kerajaan dalam tempoh selama 30 tahun.

Asasnya di sini ialah berkaitan dengan isu penjimatan kewangan. Projek HSR yang dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia baharu pada 2010, memang dianggap idea yang sesuai pada tahun berkenaan.

Namun, persoalan yang timbul apakah projek itu masih sesuai untuk dilaksanakan sekarang? Bagi pihak yang menyokong HSR diteruskan, alasan utama sudah tentu bahawa projek berkenaan memberi manfaat dalam tempoh jangka panjang.

Memang diakui mana-mana projek mega yang diusahakan kerajaan akan memberi manfaat kepada negara dan rakyat jika dirancang serta dilaksanakan dengan baik.

Sudah tentu pihak yang menyokong HSR itu ingin melihat projek terbabit selepas berjaya kelak kerana bukan setakat dapat memendekkan masa perjalanan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura, tetapi juga memberi impak ekonomi kepada umum khususnya masyarakat sekeliling.

Hal itu sebenarnya sudah difahami sejak awal lagi kerana idea asas projek HSR itu dilancarkan bertujuan memberi impak tinggi kepada negara dan rakyat. Bagaimanapun harus diingat, ia bukan satu-satunya projek mega yang pernah dilancarkan kerajaan.

Sebelum ini pun sudah ada pelbagai projek mega yang memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini. Namun, di sebalik hujah impak positif itu, kita perlu juga melihat dari sudut lain.

Hakikatnya, dengan penjimatan jaminan kerajaan sehingga RM60 bilion dalam tempoh selama 30 tahun, tentu kerajaan sudah membuat analisis kos dan manfaat berkaitan dengan projek itu. Sebarang projek yang memberi manfaat kurang daripada kos sewajarnya tidak diteruskan lagi. Manfaat itu antara lain membabitkan manfaat kewangan dan bukan kewangan.

Dalam konteks ini, projek HSR difahami boleh memberi manfaat kewangan dan bukan kewangan. Terbatalnya projek ini bermakna kerajaan perlu membayar sejumlah pampasan. Sekali lagi, meskipun kerajaan terpaksa membayar pampasan, diyakini jumlah keseluruhan kos dijangka masih rendah berbanding meneruskan projek berasaskan rundingan awal sebelum ini.

Dengan kata mudah, pembatalan projek HSR lebih baik berbanding meneruskannya.

Selain itu, fokus kerajaan kini lebih terarah untuk membantu rakyat ekoran COVID-19 yang masih tidak nampak penghujungnya. Pandemik ini sudah dan sedang menjejaskan ekosistem ekonomi, kewangan serta perniagaan. Ramai yang terjejas periuk nasi mereka, termasuk rakyat yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh agak lama.

Dalam konteks ini, keadaan semasa menunjukkan bahawa kerajaan perlu menumpukan aspek keperluan rakyat berbanding memberi penekanan kepada projek mega yang hanya boleh menampakkan impaknya dalam tempoh agak lama.

Pada awalnya, projek HSR ini dijangka siap pada 2026, namun tertangguh pembinaannya sejak September 2018, sekali gus menyebabkan lagi lama manfaatnya dapat dinikmati rakyat Malaysia.

Walhal, dalam keadaan sekarang, keperluan rakyat membabitkan kewangan isi rumah yang perlu diutamakan. Dalam kata mudah, kebajikan rakyat perlu dijaga terlebih dahulu pada masa kini.

Apabila kerajaan perlu menyalurkan banyak wang untuk keperluan rakyat, maka aspek kemampanan kewangan kerajaan juga perlu dijaga dengan sebaik mungkin.

Memperkasakan kedudukan kewangan kerajaan ketika COVID-19 melanda negara bukan perkara mudah untuk dilaksanakan. Namun, itulah yang sedang dibuat kerajaan untuk menyeimbangkan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Kita boleh lihat banyak sektor ekonomi amat terjejas akibat COVID-19. Kerajaan bukan setakat kehilangan hasil cukai daripada sektor ini, tetapi juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memulihkan kembali sektor terbabit. Ini pasti memerlukan komitmen kewangan besar.

Tanggungjawab berat inilah yang menggambarkan betapa kerajaan perlu mengutamakan perkara mustahak terlebih dahulu ketika ini dan pada masa sama sentiasa berusaha untuk menjaga kemampanan kewangan kerajaan serta rakyat.

Hal ini cukup penting untuk dilakukan kerana inilah yang amat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Projek HSR masih boleh diteruskan pada masa akan datang bergantung kepada situasi pada masa berkenaan.

Mungkin sahaja ketika itu berlaku perubahan projek ini kepada bentuk lain yang bukan sahaja menguntungkan kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura, bahkan juga memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara mampan dan berpanjangan.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat