Empat tahun Sarawak di bawah Abang Jo

- Advertisement -

KUCHING: Pada tarikh 13 Jan empat tahun lepas, dengan penampilan berbeza, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melangkah masuk ke Astana Negeri Sarawak, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kediaman rasmi ayahandanya Tun Abang Openg Abang Sapiee ketika menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama.

Lengkap berbaju Melayu hitam dan bersamping, kehadirannya pada tarikh keramat 2017 di Astana Negeri Sarawak berlainan sekali dengan kemunculannya sebelum ini lantaran beliau hadir untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam, sekali gus mencatat titik sejarah Bumi Kenyalang.

Tidak seperti yang dilalui Ketua-Ketua Menteri terdahulu, Abang Johari yang mencecah usia 66 tahun semasa menerima amanah sebagai ketua eksekutif negeri ini menerima jawatan itu dalam keadaan tidak dijangkakan.

Hanya kira-kira tiga tahun selepas rakyat Sarawak meraikan pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri yang kelima, kesedihan merundung mereka apabila pada 11 Jan 2017, beliau meninggal dunia.

Walaupun pemergian Adenan (dianugerahkan gelaran Pehin Sri, darjah tertinggi bintang kebesaran Sarawak selepas Allahyarham meninggal dunia) menjadi satu kejutan buat seluruh Malaysia, namun perjalanan pentadbiran negeri terbesar di negara ini sedikit pun tidak terganggu.

Keadaan politik kekal tenang dan harmoni yang diwarisi sejak lebih tiga dekad lepas hinggalah sekarang, pelantikan Ketua Menteri baharu berjalan lancar apabila dalam tempoh 48 jam selepas pemergian Adenan, Abang Johari tampil di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri Sarawak bagi menjunjung tanggungjawab memimpin pentadbiran negeri Bumi Kenyalang.

Berbekal pengalaman lebih 40 tahun dalam koridor pemerintahan Sarawak, kemampuan Abang Johari diyakini berupaya membawa kejayaan baharu kepada negeri yang kaya dengan hasil semula jadi.

Sebagaimana yang pernah dilalui oleh pemimpin-pemimpin sebelumnya, keupayaan Abang Johari pada peringkat permulaan sering kali dibandingkan dengan mereka yang terdahulu, sehingga adakala seperti membandingkan antara epal dengan oren.

Biarpun dibandingkan sedemikian, beliau tetap fokus dalam memastikan pelantikannya adalah untuk mewakili seluruh 2.8 juta penduduk di Sarawak yang secara sinergi mahukan pembangunan dan kemajuan kepada negeri mereka.

Pengamatan dalam beberapa kali menghadiri acara rasmi, Abang Johari sering melafazkan bahawa beliau adalah Ketua Menteri untuk pelbagai etnik rakyat Sarawak dan berikrar meneruskan dasar-dasar baik yang diperkenalkan pendahulunya, selain memperkenalkan dasar-dasar baharu yang boleh membawa Sarawak ke peringkat lebih tinggi.

Komitmen Abang Johari tidak dapat dinafikan terutamanya dalam memperjuangkan kepentingan, hak dan kedudukan Sarawak dengan tertubuhnya Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan hak-hak bagi Sarawak seperti mana yang terkandung dalam perjanjian itu adalah terpelihara.

Dengan penubuhan majlis khas itu, ia akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tujuh bulan selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Abang Johari mengorak langkah apabila berjaya mencapai persetujuan untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), pemilik dan operator Empangan Hidro Elektrik (HEP) Bakun di Ulu Belaga daripada kerajaan pusat yang bernilai RM2.5 bilion.

Pengambilalihan SHSB membolehkan kerajaan negeri dan Sarawak Energy Berhad (SEB) memperoleh pemilikan penuh semua kemudahan penjanaan elektrik di Sarawak, menjadikan SEB lebih fleksibel dalam mengoptimumkan pengurusan dan operasi bekalan elektrik di negeri ini.

Menerusi cetusan ideanya, pada 11 Mei 2017, tertubuhlah Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang bertujuan untuk membiayai projek infrastruktur berkaitan dengan Internet, sistem pengangkutan, projek pembangunan sektor tenaga diperbaharui, industri minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan pertanian moden.

Usaha ini tidak terhenti di situ sahaja apabila Abang Johari meneruskan inisiatifnya yang membawa kepada penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) pada Ogos 2017 untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sarawak.

Di bawah usaha untuk mempelbagaikan lagi hasil negeri melalui strategi pembiayaan alternatifnya, cukai jualan negeri sebanyak lima peratus telah dikenakan ke atas produk petroleum berkuat kuasa 1 Jan 2019 bagi meningkatkan hasil negeri untuk membiayai pelaksanaan projek utama pembangunan di negeri ini.

Menyedari perubahan global ketika ini yang beralih kepada dunia digital, beliau memastikan Sarawak sentiasa berada pada landasan tepat dengan pengenalan Dasar Ekonomi Digital seiring dengan misi untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Sarawak kini telah beranjak daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi digital berasaskan teknologi pintar termasuk sektor pertanian, pelancongan, bandar pintar, kesihatan, e-dagang, kerajaan digital, pengangkutan dan sosial.

Usaha ini diselaraskan menerusi penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) pada 2017, dengan antara kemuncaknya ialah pengenalan aplikasi e-dompet yang lebih dikenali sebagai Sarawak Pay bagi menggalakkan penggunaan aplikasi pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, Sarawak ID iaitu sistem identiti digital turut diperkenalkan bagi memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan dan membantu peralihan ke arah kerajaan digital.

Tulisan ini pastinya panjang berjela jika hendak disenaraikan kesemua inisiatif yang dilaksanakan Abang Johari sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak empat tahun lepas. Terbukti sudah, nikmat pembangunan dikecapi hari ini membuktikan Abang Johari berupaya mengukir kejayaan baharu Sarawak, khususnya dalam merealisasi hasrat negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat