Tarikan ‘Amazon’ Asia

- Advertisement -

MENJENGAH ke laman web sebaik sahaja mencari info berkenaan Sungai Kinabatangan, bersusun kata-kata pujian mengenai destinasi pelancongan ‘mencabar’ ini, baik daripada pengembara tempatan mahu pun luar negara.

Meskipun terkenal sebagai lubuk sang bedal yang mengganas di sungai kedua terpanjang di Malaysia itu, Sungai Kinabatangan yang mempunyai jarak 560 kilometer itu ternyata ada keunikan tersendiri terutama bagi mereka yang gemarkan pengembaraan mencabar.

Diberi jolokan sebagai Sungai Amazon Asia, Sungai Kinabatangan sebenarnya adalah segmen pelancongan eko yang menarik untuk diterokai.

Jika tidak, mana mungkin pengembara dari luar negara sanggup tinggal berminggu-minggu lamanya demi menikmati keindahan tersendiri di sepanjang sungai itu.

Pengalaman penulis bersama delegasi media tempatan yang dibawa Tourism Malaysia Sabah baru-baru ini ke destinasi itu, ternyata membuka mata kami mengenai keunikannya.

Sepanjang perjalanan selama kira-kira dua jam setengah dari Bandar Sandakan ke Kampung Bilit yang terletak berhampiran dengan Sungai Kinabatangan, perasaan berdebar ke lokasi itu mula terbit kerana kisah buaya bermain di fikiran.

Namun, menyusuri sungai itu kira-kira dua jam terasa tidak puas pula. Malah, begitu menyeronokkan apabila berpeluang melihat pelbagai haiwan liar yang berada di sekitarnya.

 

SUNGAI Kinabatangan menjadi destinasi pelancongan sejak 1990an.
SUNGAI Kinabatangan menjadi destinasi pelancongan sejak 1990an.

 

Malah, perasaan kecewa juga ada kerana tidak dapat bertentang mata dengan gajah Pygmy Borneo yang begitu sinonim dengan lokasi itu.

Jika ingin melihat sang bedal yang besar, begitu mudah kerana sepanjang perjalanan kami dapat melihat dengan jelas haiwan karnivor itu ‘bersidai’ di gigi air.

Pemandu Pelancong, Abdul Saat Walli berkata, Sungai Kinabatangan dikenali sebagai Sungai Amazon Asia kerana kepelbagaian biodiversiti yang terdapat di sepanjang sungai itu hampir setara dengan dunia Sungai Amazon yang sebenar.

Jelasnya, biasanya program untuk pelancong ke Sungai Kinabatangan adalah bagi melihat secara dekat haiwan liar yang berada di sepanjang lokasi berkenaan.

 

BUAYA sedang berehat di gigi air Sungai Kinabatangan.
BUAYA sedang berehat di gigi air Sungai Kinabatangan.

 

“Di Sungai Kinabatangan terdapat 10 spesies primat endamik yang hanya wujud di kepulauan Borneo antaranya Orang Utan, Gibon Borneo dan Probosis Monkey.

“Malah terdapat pelbagai pelbagai spesies burung yang berterbangan bebas antaranya helang, murai dan raja udang,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa sesi untuk mengadakan aktiviti menyusuri Sungai Kinabatangan mengikut permintaan pengunjung. Kebiasaannya pada sebelah pagi dan petang.

“Perjalanan kebiasaannya untuk satu sesi adalah sejauh 30 hingga 40 kilometer dari tempat pengunjung menginap. Pada sebelah pagi, pengunjung dapat melihat keadaan sungai yang masih berkabus.

“Tidak kurang pula pada sebelah petang, pengunjung dapat menikmati suasana senja berlatarkan burung-burung berterbangan bebas,” katanya.

 

ANTARA tempat penginapan yang berada di sekitar Sungai Kinabatangan.
ANTARA tempat penginapan yang berada di sekitar Sungai Kinabatangan.

 

Tambahnya, aktiviti pelancongan di Sungai Kinabatangan bermula pada sekitar 1990- an lagi dan sektor itu memberi banyak limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat terutama masyarakat Orang Sungai yang tinggal di kawasan itu sejak berkurun lamanya.

Ketika berkunjung ke destinasi itu, penulis dan rakan media lain menginap di Bilit Advanture Lodge yang bukan sekadar menyediakan penginapan, malah aktiviti lain seperti berjalan denai pada sebelah malam dan pastinya menyusuri Sungai Kinabatangan dengan menaiki bot persiaran.

 

AKTIVITI kebudayaan masyarakat setempat dipertontonkan kepada pengunjung.
AKTIVITI kebudayaan masyarakat setempat dipertontonkan kepada pengunjung.

 

Bagi penulis, jika bertandang ke Sandakan pasti ingin kembali ke Sungai Kinabatangan kerana ia bukan sahaja menawarkan pengembaraan yang dekat dengan dunia hidupan liar tetapi terapi jiwa untuk lari dari kesibukan hutan konkrit. Apatah lagi, menyantuni masyarakat setempat yang begitu mesra dengan pengunjung.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat