Lee Min Ho enggan dikenang satu watak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Apa yang diraih oleh bintang K-Pop fenomena dunia, Lee Min Ho, 35, bukan kejayaan sekelip mata.

Seperti bintang Korea lain, Min Ho bermula dengan watak kecil dalam beberapa drama seperti Romance, Nonstop dan Recipe of Love, Secret Campus dan Mackerel Run, sebelum diberi kepercayaan membawa peranan besar, sekali gus mengubah nasibnya sebagai bintang ternama.

Hanya selepas tujuh tahun, pelakon yang bergelar penyanyi dan pengarah kreatif itu membuktikan bakatnya mampu diketengahkan sebagai aktor selepas membintangi drama fenomena dunia, Boys Over Flower.

Watak Gu Jun Pyo nyata memberi tuah buat bintang kelahiran Dongjak Gu, Seoul itu.

Drama Boys Over Flower dianggap mengubah nasib sehingga mencetuskan gelombang Hallyu dan menjadikan Min Ho bintang sensasi antarabangsa.

Biarpun ketika zaman kanak-kanak, Min Ho menyemat impian bergelar pemain bola sepak, namun kecederaan dialami menyekat impian terus berada dalam gelanggang bola sepak ketika berusia 10 tahun.

Sejak itu, anak bongsu dua beradik itu beralih arah ke bidang lakonan. Sejak sekolah menengah, Min Ho tidak henti menjalani uji bakat, namun dua kali berdepan kemalangan jalan raya sehingga koma, sekali gus hampir memadamkan impiannya bergelar pelakon.

Namun, drama Boys Over Flower bagaikan mengubah takdir hidup apabila watak pewaris empayar Shinhwa yang sombong dan bongkak serta ketua F4, Gu Jun Pyo memahat kukuh namanya sehingga menjadi kegilaan penggemar drama K-Drama di seluruh dunia hingga saat ini.

Melangkah ke mana sahaja, pastinya sosok aktor tinggi lampai ini mencuri perhatian peminat. Begitu juga kehadirannya ke Malaysia, awal bulan lalu.

Min Ho cukup tersentuh hati melihat sambutan luar biasa peminat selepas enam tahun tidak datang ke Malaysia.

Ketibaan aktor Korea Selatan paling berpengaruh ke Malaysia itu disambut meriah sehingga diserbu peminat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sehari sebelum muncul di pentas sebagai penampilan khas duta antarabangsa, Cuckoo sempena Konsert Ulang Tahun Cuckoo Appreci8th di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 1 Oktober lalu.

Cukup menyenangi peminat di Malaysia, aktor yang memiliki 31.1 juta pengikut di Instagram (IG) itu tidak menyangka masih meraih sokongan luar biasa.

Ketika ditemui pada sidang media sempena Konsert Ulang Tahun Cuckoo Appreci8th, Min Ho diajukan persoalan, dirinya mahu diingati sebagai pelakon bagaimana?

Dengan nada merendah diri, Min Ho berkata, dia tidak mahu diingati dikenang menerusi satu watak sahaja.

“Saya bekerja keras setiap masa bagi setiap peluang diberikan. Namun, jika minta dipilih, saya menghargai semua watak yang pernah dilakonkan termasuklah Gu Jun Pyo (Boys Over Flower), Kim Tan (The Heirs) dan terbaru, Han Su (Pachinko),” katanya yang kelihatan serba salah apabila diminta memilih watak paling dihargai kerjaya hampir dua dekad.

Min Ho berkata, dia tidak menyangka masa berlalu begitu pantas.

“Saya tidak sangka masih disambut baik peminat selepas enam tahun tidak datang ke Malaysia. Sebaik melangkah keluar dari pesawat, saya lihat peminat sudah memenuhi ruang sambil menjerit ‘saya rindu awak’.

 

Min Ho tidak sangka masih mendapat sokongan padu daripada peminatnya di Malaysia. Foto NSTP Genes Gulitah
Min Ho tidak sangka masih mendapat sokongan padu daripada peminatnya di Malaysia. Foto NSTP Genes Gulitah

 

“Saya dapat melihat sepanduk tulisan mengatakan mereka merindui saya. Ini membuatkan hati saya benar-benar tersentuh. Saya juga amat gembira dan teruja dapat kembali ke Malaysia,” katanya kepada BH Online.

Min Ho ditemui pada sidang akhbar Konsert Ulang Tahun Cuckoo Appreci8th, sebelum muncul di pentas sebagai penampilan khas di Axiata Arena.

Yang turut hadir, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga duta Cuckoo di Malaysia. Konsert itu turut menampilkan Datuk Jamal Abdillah, Misha Omar, Aina Abdul, Hael Husaini, Dolla, Floor 88, Khai Bahar, Naqiu, Amelina, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Diminta berkongsi tiga perkataan menggambarkan peminat di Malaysia, bintang yang turut mencipta fenomena menerusi drama The Legend of the Blue Sea dan The King: Eternal Monarch itu menyifatkan penggemarnya baik, penyayang dan bersungguh-sungguh.

“Saya bersemangat dan tenang setiap kali datang ke Malaysia. Peminat di Malaysia sangat baik, manis dan penuh bersemangat,” katanya.

Mengulas mengenai harapannya, pelakon filem Gangnam Blue dan Bounty Hunters yang cukup dikenali dengan kehandalan bermain permainan video dalam talian berkata, dia berharap mempunyai ruang bekerjasama dengan penggiat seni di Malaysia.

“Sudah tentu saya mengharapkan peluang dapat bekerjasama dengan orang Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Min Ho berkata, dia kini sedang menyiapkan penggambaran drama bergenre komedi romantik sci-fi berjudul Ask The Stars.

Membawa karakter sebagai Gong Ryong, Min Ho akan bergandingan dengan aktres handalan, Gong Hyo Jin.

“Drama berlatarbelakangkan ‘angkasa’ disifatkan drama komedi dan menggembirakan.

“Saya juga akan memulakan penggambaran drama Pachinko musim kedua apabila penggambaran drama Ask The Stars selesai,” kongsinya.

Sementara itu, kehadiran Min Ho membuatkan 9,000 bersesak-sesak menantikan kemunculannya di pentas Axiata Arena.

Menerusi video dikongsi peminat di laman Twitter, ramai yang sanggup berasak dan bersengkang mata menanti Min Ho di KLIA sehingga ada terjatuh serta menolak antara satu sama lain untuk melihat bintang kacak itu dari jarak dekat.

Perasaan sama dirasainya penyanyi nombor satu negara, Siti apabila berkongsi pentas dengan Min Ho selaku duta Cuckoo.

Enggan melepaskan peluang merakamkan aksi ‘selfie’ bersama Min Ho, meskipun timbul kerisauan dihalang pengawal atau telefonnya dirampas.

“Kisahnya memang di luar pentas, kawalan sangat ketat untuk artis antarabangsa seperti Lee Min Ho. Kena ikut setiap perancangan yang ditetapkan pengurusannya.

“Tidak boleh ambil gambar selain menggunakan jurufoto rasmi. Tapi bila atas pentas, saya tak nak lepaskan peluang keemasan,” katanya.

Ujar Siti, berbekalkan keberanian dan telefon di tangan memberanikan diri meminta izin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo, KC Hoe untuk bergambar dengan Min Ho.

“Boleh ke selfie ni? Nanti kena rampas pula telefon bimbit saya. Takut juga pengawal peribadi tak bagi. Mr KC Hoe beri keizinan, pergi ambil sahaja… Dalam hati, kalau pengawal peribadi naik ke pentas, saya bersedia nak buka silat Mat Kilau.

“Apa lagi, peluang keemasan depan mata. Saya senyum pada Min Ho ajak selfie, sekali dia setuju. Terus jari saya sepantas kilat tekan tak berhenti. Okaylah, pengawal tak naik pentas, misi berjaya,” tulis Siti dalam laman IG sambil berseloroh.

Perkongsian Siti mendapat hampir 350,000 tanda suka mengujakan peminat kerana berpeluang melihat dua bintang ternama bergambar bersama.

Malah, gambar selfie dimuat naik Siti turut tular dalam media sosial seperti IG dan Twitter selepas peminat global mengulang siar foto berkenaan.

Selain diundang sebagai duta Cuckoo, Siti turut menghiburkan peminat menerusi rangkaian lagu medley, Ku Mahu, Ku Milikmu, 7 Nasihat bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta serta lagu tema, Sama-Sama.

Tirai Konsert Ulang Tahun Cuckoo Appreci8th diakhiri dengan persembahan peserta program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan, Tomok yang mendendangkan lagu Sejarah Mungkin Berulang, Dina Nadzir (Sedang Bercinta Lagi) dan Jaclyn Victor (Ikut Rentakku dan Can’t Take My Eyes Of You).

Berita Harian

Previous article
Next article
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat