‘Project Temporary Marking’ karya seniman muda Zulkefli Jais, harumkan nama negara di mata dunia

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

SEOUL – Penyertaan seniman muda, Zulkefli Jais dalam acara seni berprestij melalui karyanya berjudul ‘Project Temporary Marking’ di bumi Korea Selatan melakar sejarah dan merupakan pengiktirafan besar buat negara.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara memaklumkan, ‘Project Temporary Marking’ mulai dipamerkan pada 7 September lalu sehingga 1 Disember ini, sempena ‘15th Gwangju Biennale’ di Asia Culture Center Gwangju, Korea Selatan.

Kenyataan itu berkata, pameran ini menonjolkan perkembangan seni kontemporari Malaysia, serta menandakan pencapaian penting bagi Zulkefli Jais dalam usaha untuk meraih pengiktirafan di peringkat global.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Balai Seni Negara, dengan bangga mempersembahkan pameran ini turut mendapat sokongan daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan, dan Tourism Malaysia.

Pavilion Malaysia yang mempamerkan hasil karya Zulkefli Jais di sini telah menerima kunjungan daripada Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman.

Turut sama, Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, TYT Dato’ Mohd Zamruni Khalid; Presiden Asia Culture Center (ACC), Lee Kanghyun, serta pegawai-pegawai kanan MOTAC dan Balai Seni Negara.

Menurut kenyataan itu lagi, ‘Project Temporary Marking’ mula dipamerkan di Menara Condong, Teluk Intan telah mendapat sambutan amat menggalakkan begitu juga di Balai Seni Negara pada 1 Mac lalu dengan menerima hampir 10,000 pengunjung.

“Karya Zulkefli Jais menampilkan gabungan jaket (vest) melambangkan Menara Condong sebagai mercu tanda bandar Teluk Intan serta memaparkan pertindihan antara aspek geografi dan sejarah bandar, serta dikaitkan dengan memorinya sebagai anak jati bandar tersebut.

“Setiap jaket dalam karya ini mewakili perasaan dan ingatan terhadap bencana yang pernah menimpa pelarian di bandar itu, serta menjadi peringatan bahawa sejarah mempunyai kecenderungan untuk berulang,”katanya.

“Karya ini dipamerkan bersama-sama tayangan dokumentari pendek berdurasi 6 minit 2 saat yang ditayangkan secara berulang sepanjang pameran berlangsung.

“Dokumentari ini mendedahkan sejarah gelap sekitar Menara Condong, dengan bunyi loceng yang berbunyi setiap jam, mengikut Waktu Malaysia (MYT), untuk memberikan gambaran serta penghayatan yang lebih mendalam terhadap karya berkenaan,”katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, pihaknya melihat peluang untuk mengangkat seniman muda tempatan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, Zulkefli Jais dipilih setelah melalui satu proses yang panjang dalam Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS), di mana dia perlu bersaing dengan puluhan peserta lain sebelum diumumkan sebagai pemenang anugerah utama pertandingan itu.

“Penyertaan seniman muda ini, di Gwangju Biennale 2024 memberi suntikan semangat dan anjakan baharu buatnya.

“Melalui pendedahan ini, diharap beliau akan terus menyinar sebagai seniman muda yang berpotensi serta mampu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa, ”ujarnya.

“Balai Seni Negara turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada dua kurator yang mewakili agensi ini, iaitu Erry Arham Azmi dan Syahrul Niza Ahmad Zaini, atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memastikan pameran ini berjalan lancar.

“Balai Seni Negara sentiasa komited dalam memberi sokongan kepada artis-artis tempatan.

“Kejayaan Zulkefli Jais dalam mengangkat karyanya ke pentas antarabangsa dilihat mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan seni kontemporari di Malaysia.

“Selain itu, pameran ini turut mempromosikan sejarah dan keunikan budaya Malaysia ke peringkat global,”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat