PATI Menyusup Masuk Secara Haram Punca Kluster Baru Di Sabah – KKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah diusir ke negara asal, Filipina tetapi masuk semula secara haram ke Malaysia dikenalpasti indeks kluster baharu di Kunak, Sabah.

Individu tersebut memasuki Malaysia kerana mahu berjumpa isterinya.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster iaitu kes ke-9859 adalah seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang telah dihantar balik ke Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

“Namun demikian, pada 5 September lalu, kes telah menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga, Filipina melalui jalan tikus untuk melawat isteri kes.

“Isteri kes (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif COVID-19 pada 8 September 2020 semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

“Beliau didapati mula bergejala pada 6 September lalu dan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif Covid-19 telah dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (iaitu kes ke-9861 dan kes ke-9862),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga 12 September lalu sejumlah 49 individu telah disaring dalam kluster itu yang mana kesemua saringan itu melibatkan warganegara Filipina.

Daripada jumlah ini, katanya, empat kes dikesan positif Covid-19 manakala 14 individu adalah negatif sementara 31 lagi individu masih menunggu keputusan saringan.

“Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti serta punca jangkitan masih di dalam siasatan,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai kluster Benteng LD, Dr. Noor Hisham memberitahu, seramai 4,089 orang telah disaring dan sebanyak 44 kes baharu dikesan positif.

“Bagi kawasan Lahad Datu seramai 1,242 disaring dan 88 kes dikesan positif (satu kes baharu), 440 individu negatif dan seramai 714 lagi individu masih menunggu keputusan.

“Berdasarkan keseluruhan jumlah saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan 833 banduan yang mana 361 dikesan positif Covid-19, 832 kakitangan disaring dan dua dikesan positif Covid-19.

“Justeru seramai 1,044 orang kontak ahli keluarga kakitangan dan banduan disaring dan tiga dikesan positif; 728 pegawai agensi kerajaan lain turut disaring tetapi tiada dikesan positif ; dan 652 kontak sosial dijejaki yang mana 15 daripadanya dikesan positif COVID-19.

“Daripada jumlah 381 kes positif Covid-19, 168 adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 213 adalah warga asing iaitu warga Filipina (149 kes) dan warga Indonesia (64 kes),” katanya.

Mengulas mengenai kluster Sungai, beliau berkata, terdapat lima kes baharu yang dikesan positif.

Katanya, sejumlah 8,258 individu telah disaring melibatkan kluster Sungai iaitu melibatkan seramai 709 petugas kesihatan atau 8.6 peratus. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat