Tiada usaha bebaskan Najib, penyokong seru sokong PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penyokong Datuk Seri Najib Razak diseru untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini memandangkan Kerajaan Perpaduan didakwa gagal menegakkan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.

Penyokong kuat Najib, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, semboyan seruan sokongan terhadap PN itu diputuskan sebagai manifestasi kekecewaan terhadap kepimpinan Umno terutama Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya ingin menjelaskan ramai yang tahu saya lead (pimpin) untuk penyokong-penyokong Bossku. Saya ingin memberikan semboyan kepada seluruh penyokong Bossku termasuklah kepada ayahanda dan bonda kita di luar sana.

“Kita akan sokong parti Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri akan datang, titik, noktah,” tegas Syed Muhammad Imran di TikTok pada Rabu.

Presiden Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) itu juga menyatakan kemarahannya terhadap kepimpinan Umno yang disifatkannya lepas tangan dalam usaha menegakkan keadilan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

“Saya cukup marah dengan kepimpinan Umno, saya dan beberapa ahli Umno yang lain hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno, ketua Umno bahagian mereka seumpama katak di bawah tempurung.

“Sepatutnya di tempat kami ini, kamu yang berdiri. Kamu yang tegakkan keadilan Najib, kamu yang untung masa Najib jadi Perdana Menteri tetapi kamu tak buat, kamu pentingkan diri. Ketua umno bahagian sepatutnya perlu berdiri tegak tapi kamu tak buat, kami hilang kepercayaan.

“Ulasan tentang anak Najib memberitahu perlu menyokong Kerajaan Perpaduan, tidak tepat sama sekali kerana tidak pernah Najib memberitahu kita perlu sokong Kerajaan Perpaduan jika keadilan beliau tidak ditegakkan, ini jelas keadilan tidak ditegakkan kita sokong PN,” ujarnya.

Syed Muhammad Imran mendakwa Kerajaan Madani tidak menegakkan keadilan terhadap Najib seperti yang dijanjikan.

“Di mana keadilan datuk seri najib yang kita pohon kepada Kerajaan Madani ini, sehingga sekarang tidak ditegakkan. Saya ulang surat yang tular pada 20 Februari 2023 iaitu surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana berdasarkan siasatan yang dijalankan.

“SPRM berpendapat terdapat isu salah laku yang perlu dipertimbangkan Yang Amat Arif Tun yang telah dilakukan oleh Yang Arif Datuk Mohd Nazlan Ghazali di bawah kod etika hakim 2009 ketika beliau membuat keputusan ke atas ketiga-tiga kes yang didengari, fakta bagi siasatan yang dijalankan oleh SPRM turut dilampirkan bersama dengan surat ini iaitu laporan SPRM kepada ketua jabatan mengenai pelanggaran tatakelakuan.

“Ini jelas surat yang ditandatangani oleh Tan Sri Azam Baki yang disokong oleh Ketua Peguam Negara, ini jelas dan kita tidak perlu membebankan raja-raja Melayu, sepatutnya surat ini sahaja boleh membuatkan kes Datuk Seri Najib dibicarakan semula tetapi ia tidak ditegakkan.

“Ini adalah benda yang baru… yang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut di Dewan Negara yang lepas itu adalah cerita yang lama, cerita beberapa tahun lepas, ini cerita baru, sepatutnya keadilan Najib ini ditegakkan tapi, tidak,” dakwanya.

Hari ini, Ketua Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi surat tular berhubung isu salah laku mengikut Kod Etika Hakim 2009 dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak, tidak lagi relevan dan diatasi oleh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Kata Azam, permohonan bekas perdana menteri itu antara lain untuk mengemukakan keterangan baharu bagi membuktikan wujudnya elemen konflik kepentingan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mengendalikan perbicaraan terbabit.

Jelas beliau, Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan tiada konflik kepentingan pada pihak hakim berkenaan.

“SPRM hanya bertanggungjawab bagi kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihaknya saja dan penyebaran surat itu dalam domain awam adalah bukan suatu penyebaran yang diberi kuasa oleh SPRM.

“Siasatan yang dijalankan oleh SPRM adalah di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan bukan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

“Berdasarkan hasil siasatan, SPRM dan Jabatan Peguam Negara mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh Mohd Nazlan di bawah akta berkenaan,” katanya menerusi afidavit jawapan defendan difailkan Peguam Kanan Persekutuan di Mahkamah Tinggi, 23 Jun lalu.

Pada 12 April lalu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menerusi firma guaman, Tetuan Lim Wei Jiet, memfailkan saman terhadap SPRM yang dinamakan sebagai defendan berhubung penemuan agensi itu bahawa Nazlan melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Media melaporkan surat yang tular didakwa daripada Azam Baki kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, bertarikh 20 Februari lalu, menyatakan bahawa siasatan SPRM menemui isu salah laku Nazlan yang perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim.

Surat itu menyatakan kesalahan yang didakwa di bawah Kod Etika Hakim 2009 berlaku apabila Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib.

Nazlan mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Azam berkata, saman difailkan oleh MUDA sebagai plaintif bersifat akademik atau tidak lagi relevan.

“Asas kepada tindakan ini (saman) adalah berkenaan surat SPRM berkaitan isu salah laku yang dikatakan dilakukan Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009 ketika mengendalikan perbicaraan kes SRC International.

“Perkara berkenaan salah laku di bawah kod itu sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang mendapati tiada konflik kepentingan dilakukan Nazlan semasa mengendalikan kes.

“Saya juga dinasihatkan oleh Peguam Kanan Persekutuan bahawa plaintif tiada kapasiti untuk memulakan tindakan itu berdasarkan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat