KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir ahli UMNO mempertikai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat perjanjian dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai tidak wajar.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berkata, sepatutnya tindakan Perdana Menteri itu harus dipuji dan dan disyukuri kerana beliau berjaya mengembalikan kuasa kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Walaupun tak pasti (perjanjian) itu betul atau tidak sebab ini kerahsiaan. Kalau betul, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana tindakan itu kita kembali berkuasa. Apa salahnya?

“Kita sepatutnya bersyukur dengan tindakan Perdana Menteri kerana kebaikan itu balik kepada kita,” ujarnya ketika dihubungi Suara.TV pada Selasa.

Mustapa Kamal malah berkata, Ismail Sabri bijak menyusun atur parti untuk mengembalikan kuasa kepada UMNO dan BN sebagai parti memerintah.

“Beliau telah suntik satu bentuk pemikiran organise parti untuk kembalikan kuasa.

“Ismail Sabri malah tidak pernah melobi untuk jadi PM. Beliau jadi PM pun kerana takdir Tuhan. Hilang akal kita dapat kuasa kita pertikai,” bidas Mustapa Kamal.

Bahkan kata beliau lagi, mungkin jika tidak kerana kebijaksanaan Ismail Sabri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri.

“Mungkin PM sekarang ialah Anwar dan PH, apa beza Anwar dan PH 22 bulan?

“Ismail Sabri tak buat salah apa pun, beliau tak pernah belakangkan parti. Jadi kenapa pertikai beliau?

Mustapa Kamal juga membantah sekiranya Ismail Sabri dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

“Orang UMNO jangan pertikai tindakan Ismail Sabri. Beliau telah kembalikan kuasa kepada kita.

“Beliau juga tidak sepatutnya dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

Baru-baru ini bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Marzuki mendakwa, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud. Sebagai pegawai Perdana Menteri kelapan pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.

“Ia ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin dan Perdana Menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri daripada Bersatu dan seorang menteri UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhyiddin sebelum ini dilapor telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

kredit foto: Astro Awani