Tiada Istilah ‘Cold Storage’ Dalam Perkhidmatan Awam – KPPA

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Istilah dipeti sejukkan (cold storage) tidak wujud dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkata, ia berikutan setiap penjawat awam yang dipanggil balik ke kementerian atau jabatan masing-masing dengan gaji penuh yang tidak dipotong selain dihantar berkursus sebelum diberikan penugasan baharu.

Beliau berkata, istilah berkenaan wujud kerana intepretasi berbeza-beza oleh masyarakat dan ia perlu diperbetulkan.

“Penjawat awam dipanggil balik ke ‘pool’ ada kerana sementara menunggu menunggu penempatan baharu atau cuti belajar… ia bukan negatif.

“(Sebagai contoh) Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha berada dalam ‘pool’ sementara mereka menunggu penempatan baharu,” katanya pada sesi perjumpaan khas bersama media, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Mohd Shafiq berkata, penjawat awam sentiasa bersedia untuk ditukarkan kerana ia adalah ikrar perkhidmatan awam, berkhidmat tanpa rasa takut atau berkepentingan (fear or favour).

Mengulas mengenai dua pegawai tinggi di Wisma Putra yang dipanggil balik kerana kegagalan menguruskan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohd Shafiq berkata, ramai yang mendakwa kedua-dua pegawai berkenaan dipanggil balik ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikenakan tindakan dipeti sejukkan, namun ia sebenarnya tidak benar.

Sebaliknya, beliau berkata, pegawai terbabit kembali ke Wisma Putra dan diberikan kursus untuk kemahiran.

Katanya, urusan dan penempatan semula duta yang dipanggil balik untuk berkursus itu perkara biasa di Wisma Putra.

“Duta besar dan pesuruhjaya tinggi kita ditempatkan di luar negara bagi menjaga dan mempertahankan kepentingan negara di persada antarabangsa, memastikan kelangsungan dasar luar negara dapat diteruskan.

“Setakat ini ada 107 perwakilan di seluruh dunia,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Shafiq berkata, JPA sedang berbincang dengan Kementerian Luar untuk membuat pengisian segera terhadap 29 kekosongan perjawatan yang masih belum diisi Ketua Perwakilan ketika ini.

Beliau berkata, ketika ini, kekosongan di 29 negara itu digalas oleh Kuasa Usaha Sementara.

Katanya, JPA sedang berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri M Shahrul Hisham Ikram Yaakob dan melihat apa faktor menyebabkan berlaku kelewatan.

“Sebelum ini sudah ada perbincangan untuk melaksanakan penjajaran semula jawatan-jawatan di luar negara supaya dapat hasil pulangan pelaburan (ROI) yang baik.

“Esok kita ada mesyuarat untuk melihat pengisian dan garis panduan yang baik boleh disediakan supaya ia dapat dilaksanakan dengan cepat bagi memenuhi keperluan negara.

“Perlu ada garis panduan yang cepat,” katanya.

Ditanya apa antara faktor yang menyebabkan berlaku kekosongan itu, Mohd Shafiq berkata, kebanyakan mereka sudah bersara selain dipengaruhi pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada pergerakan diplomat. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat