KUALA LUMPUR – Pengerusi eksekutif Westports Holdings Bhd Ruben Gnanalingam, yang merupakan pemilik bersama pasukan bola sepak Amerika, Los Angeles FC (LAFC), memohon maaf kerana berkongsi semula hantaran di media sosial yang mengkritik Israel.
Menurut laporan media asing, ini selepas Major League Soccer (MLS) LAFC mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk perkara itu.
“Saya amat kesal kerana kandungan yang dikongsi di akaun media sosial saya telah menyebabkan keresahan dan kebimbangan,” kata Ruben, yang juga pemegang kepentingan majoriti dalam kelab bola sepak Inggeris Queens Park Rangers FC.
“Saya tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan atau mencederakan sesiapa, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana tidak lebih berhati-hati sebelum berkongsi siaran ini.
“Saya memohon maaf kepada mereka yang terkesan, termasuk rakan sekerja, rakan dan keluarga saya. Sebagai seseorang yang mementingkan perpaduan, kepelbagaian dan rasa hormat kepada semua, saya mengakui kesilapan saya dan telah menarik balik hantaran itu,” katanya lapor Malaysiakini pada Rabu.
Ruben, yang keluarganya dinamakan sebagai di tangga ke-12 kaya dalam senarai 50 terkaya Forbes Malaysia pada 2024, seterusnya mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan media sosial.
“Saya telah memutuskan untuk berehat daripada media sosial untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab profesional saya dan memastikan komunikasi saya sejajar dengan nilai dan standard tinggi yang diharapkan daripada saya sebagai peneraju perniagaan global.
“Saya komited untuk belajar daripada pengalaman ini dan bekerja rapat dengan MLS, LAFC, QPR, dan organisasi lain untuk memastikan komunikasi awam masa depan saya dikendalikan dengan lebih berhati-hati,” tambahnya.
Laporan media menyatakan bahawa media sosial Ruben menjadi tumpuan berikutan laporan dalam The Jewish Chronicle pada Sabtu lalu, yang menyerlahkan beberapa catatan yang didakwa dikongsi olehnya.
Ini termasuk seruan untuk “membubarkan” Israel, kritikan terhadap “Zionisme Nazi fasis,” dan rujukan kepada teori konspirasi yang mencadangkan Israel mempunyai niat untuk “menakluki dunia Arab.”