Sektor ekonomi baharu dikenal pasti di bawah RM ke-12 – Mustapa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa sektor ekonomi baharu akan dikenal pasti di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk memacu ekonomi ke hadapan dan mencipta peluang ekonomi bagi rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada langkah mempercepatkan pembangunan industri berpotensi tinggi, antaranya aeroangkasa, elektrik dan elektronik termaju, halal, industri kreatif, biojisim dan perladangan pintar.

“Industri ini dikenal pasti berdasarkan prospek masing-masing dalam menjana aktiviti dan produk bernilai tambah tinggi, penggunaan teknologi canggih, penyelidikan dan pembangunan, inovasi, pekerjaan berkemahiran tinggi serta sumbangan dalam mencapai agenda hijau,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di webinar ‘RMKe-12: Bual Bicara bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed’ yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia.

Pembentangan RMKe-12 2021-2025 telah ditangguhkan sehingga awal tahun depan untuk membolehkan lebih banyak input daripada pelbagai pihak berkepentingan dan yang penting adalah mempertimbangkan pelarasan dasar dan pembaharuan ekonomi yang diperlukan untuk membangunkan kembali dan menyusun semula ekonomi dalam tempoh pasca-pandemik.

Mustapa berkata kejayaan pelaksanaan langkah itu akan meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi, selain meletakkan Malaysia sebagai peserta penting dalam rantaian bekalan global bagi produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi dan kompleks.

Beliau berkata tumpuan juga akan diberikan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, mendorong penggunaan input domestik lebih tinggi serta menambah baik pembangunan di kawasan yang kurang membangun.

“Harapan terhadap RMKe-12 adalah tinggi. Saya mengakui bahawa merangka rancangan itu adalah tugas yang menggentarkan.

“Walaupun jika pandemik ini tidak berlaku, kita telah menghadapi sejumlah masalah struktur. Kita memerlukan idea berani dan radikal untuk menangani isu-isu tertunggak sekian lama, seperti aktiviti ekonomi bernilai tambah rendah, pengagihan pendapatan yang tidak saksama serta ketaksamaan wilayah,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan ekonomi terbuka, dipengaruhi oleh situasi ekonomi global dan COVID-19 yang telah menyebabkan kemelut ekonomi global sekali gus mengakibatkan ekonomi ini mengalami kemelesetan yang teruk.

“Walaupun tanpa COVID-19, beberapa isu seperti ketegangan perdagangan yang memuncak terutama di antara Amerika Syarikat dengan China dan konflik geopolitik telah menimbulkan ketidaktentuan, menyeret ekonomi ini ke dalam ketidaktentuan yang lebih ketara,” katanya.

Mustapa menjelaskan RMKe-12, seperti rancangan-rancangan Malaysia sebelum ini, merupakan dokumen yang amat penting yang akan menetapkan asas bagi Malaysia untuk pulih daripada pandemik.

Beliau berkata ia akan memetakan hala tuju kepada ekonomi yang mampan di samping memastikan kesejahteraan rakyat dalam konteks kemakmuran bersama.

“Kita memberi penekanan kepada isu ekonomi dan pembaharuan institusi, selain menjadikan agenda kemampanan lebih jelas dalam rancangan pembangunan nasional ini.

“Kita perlu mempertingkat rantaian nilai; menerima guna teknologi dan inovasi untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi; membangunkan masyarakat yang inklusif untuk memastikan keadilan sosial dan menambah baik kesejahteraan rakyat,” katanya.

Aspek meningkatkan kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan agenda pembangunan bersih, hijau dan berdaya tahan serta menambah baik kecekapan sistem penyampaian agar lebih menumpukan rakyat, cekap dan produktif juga turut diberi keutamaan, katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat