KUALA LUMPUR — Kerajaan membuat kenyataan tegas bahawa tiada wang simpanan daripada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) akan digunakan untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas masjid dan guru takmir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, berkata kerajaan akan menggunakan 100 peratus sumber peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui TH, yang memegang peranan sebagai pengurus bagi pelaksanaan inisiatif itu.
“Segala dakwaan atau andaian yang menyatakan wujudnya penggunaan wang simpanan jemaah haji adalah sama sekali tidak benar dan berunsur spekulatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata langkah itu, yang membabitkan imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir, adalah satu pengiktirafan kepada khidmat bakti mereka dalam hal ehwal Islam.
Ia bertujuan memastikan kebajikan, perlindungan sosial dan kesejahteraan golongan terbabit yang berkhidmat di barisan hadapan syiar Islam terus terpelihara.
“Kerajaan kekal komited memelihara integriti pengurusan amanah TH serta memastikan tadbir urus korporat institusi itu dilaksanakan secara telus dan berteraskan prinsip Syariah.
“Usaha murni memartabatkan kebajikan petugas masjid dan guru takmir ini akan terus dilaksanakan tanpa kompromi, demi memastikan kemakmuran institusi agama dan keberkatan pembangunan ummah di bumi Malaysia sentiasa terpelihara,” kata Zulkifli.



