KUALA LUMPUR, – Sektor kecerdasan buatan (AI) negara berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM3.29 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, yang dijangka mewujudkan 6,920 peluang pekerjaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu merupakan sebahagian daripada kemajuan signifikan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) pada separuh pertama tahun ini di bawah inisiatif strategik Malaysia Digital (MD).
“NAIO dengan kerjasama MyDigital menyelaras penganjuran Sidang Kemuncak AI ASEAN bermula hari ini hingga 13 Ogos, yang menjadi platform penting memperkukuh kepimpinan dan kerjasama serantau dalam bidang AI.
“NAIO kini memuktamadkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 berteraskan pembangunan bakat, penyediaan data dan infrastruktur, selain menyediakan draf Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI bagi menyokong pelaksanaan pelan tersebut,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan komited membangunkan ekosistem AI secara menyeluruh agar memberi impak langsung kepada produktiviti, ekonomi dan pendapatan rakyat.
“Strategi ini melibatkan pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat, peningkatan kepercayaan digital serta kerjasama rentas kementerian. Pelaksanaan pelan AI nasional yang dirangka akan dipantau secara berstruktur melalui Kementerian Digital.
“Kementerian ini berbeza kerana ia memantau aspek digital di semua kementerian. Bayangkan jika kita mempunyai data merentas kerajaan, masyarakat dan industri, ia boleh digunakan untuk memperkasa sektor-sektor tersebut,” katanya.
Gobind berkata demikian ketika menjawab soalan Howard Lee Chuan How (DAP–Ipoh Timor) berhubung manfaat pelan Kementerian Digital terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan isi rumah dan pendapatan individu.



