Tak puas hati dengan Zahid, akar umbi tawar hati untuk undi PH -BN : Ilham Centre

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penolakan ketara akar umbi Umno dan pengundi “fence sitter” yang mengundi Barisan Nasional (BN) sebelum ini terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terlalu kuat dan besar.

Panel Penyelidikan Ilham Centre merumuskan, hampir konsensus pandangan ahli Umno akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Zahid menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN.

“Sebahagian besar agak pasif dan dalam mode tunggu dan lihat.

“Ahli Umno termasuk jentera mengakui masih sukar untuk menerima PH kerana DAP dan sebahagiannya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pendirian bergabung dengan dua berkait usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) gagal dijelaskan dengan baik kepada ahli bawahan Umno,” kata dapatan kajian itu.

Justeru menurut Ilham Centre, keupayaan Umno untuk menarik sokongan orang Melayu dalam PRN ini masih disangsikan.

“Kajian lapangan mendapati Umno bergelut untuk mendapatkan undi orang Melayu antaranya disebabkan faktor dalaman parti.

“Dapatan di lapangan memperlihatkan akar umbi Umno terbelah kepada tiga kelompok. Pertama kelompok anti-Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyalahkan beliau atas apa yang berlaku ke atas Umno ketika PRU15.

“Kedua kelompok yang tiada masalah dengan Zahid tapi marah Umno bekerjasama dengan PH. kelompok ini masih tidak dapat menerima kerjasama tersebut khususnya dengan DAP yang dianggap ekstrem dan cauvinis Cina yang anti-Melayu.

“Ketiga kelompok yang tiada masalah dengan Zahid dan Kerajaan Perpaduan tetapi bermasalah dengan calon di kawasan. Antara penyebab ialah calon yang diletakkan bukan pilihan akar umbi (parachute candidate) serta calon PH bertanding di kawasan mereka,” katanya.

Selain itu, Ilham Centre juga menyatakan, ahli Umno berkemungkinan akan membuat peralihan undi kepada PN atas faktor di atas dan juga lebih dekat dengan PAS kesan kerjasama (Muafakat Nasional) yang lalu.

“Ternyata MN menguntungkan PAS dan PN secara keseluruhannya. Dari segi psikologi, selama ini mereka memangkah BN kini bagi DUN ditandingi PH tiada logo berkenaan lagi.

“Selain itu mereka juga takut disindir oleh orang PAS yang kini sudah orang Umno-BN sudah membela DAP-PH yang didoktrin sekian lama dalam Umno.

“Selain itu, wujud juga elemen “cah keting” apabila pemilihan calon tidak selari dengan kehendak Umno Bahagian. Bagi kawasan sebegini amat terdedah untuk berlaku protes senyap di kalangan ahli Umno. Situasi ini banyak dikesan di negeri Kelantan dan Terengganu,” jelasnya.

Mengikut data kajian itu lagi, sekitar 27-58 peratus pengundi Umno dalam PRU15 yang berpindah mengundi PN dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Ujarnya, keadaan ini boleh terubat dengan pemimpin Umno turun bertemu mata dengan ahli akar umbi menjelaskan dengan tuntas keputusan bersama DAP dan Anwar.

“Momentum gelombang Melayu-Islam ketika PRU15 dilihat masih berterusan. Untuk rekod ketika PRU15, PN memperoleh 52 peratus undi orang Melayu diikuti BN (32 peratus) dan PH (15 peratus).

“Dengan situasi pasca PRU15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman Umno yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana di kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini.

“Walaupun kerjasama PH-Umno akan mengecilkan keterpecahan undi orang Melayu berbanding ketika PRU15 menerusi persaingan dua penjuru, ia masih dilihat tidak membantu Kerajaan Perpaduan.

“Untuk memberikan konteks, Umno kalah di kesemua kerusi parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat