‘Mimpi jadi kenyataan’ – Fendy Caliph Buskers

- Advertisement -

Kuala Lumpur: “Syukur Alhamdulillah. Saya rasa hari ini macam hari raya,” kata pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, selepas menerima kunjungan daripada pelbagai agensi kerajaan ke rumahnya, hari ini.

Fendy yang cacat penglihatan berkata, dia seolah-olah sedang bermimpi apabila perkongsiannya mengenai penderitaan hidup yang terpaksa ditanggung akibat pandemik Covid-19 didengari kerajaan yang sanggup turun padang menghulurkan bantuan.

Fendy mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan wakil Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang hadir ke rumahnya, hari ini serta memastikan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pernah dimohon sebelum ini dapat diuruskan dalam kadar segera.

“Macam-macam makanan dan sumbangan yang diberikan mereka. Saya sangat bersyukur dan ia seolah-olah mimpi jadi kenyataan. Saya tak tahu nak cakap macam mana sebab perasaan yang rasa sekarang sangat berbeza.

“Mereka yang hadir juga mempunyai matlamat yang sama iaitu akan berusaha untuk mendapatkan rumah mampu milik DBKL untuk saya diami kerana bayaran sewa rumah rumah saya sekarang RM1,300 sebulan,” katanya.

Menurut Fendy, mungkin ramai tidak tahu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga mempunyai komitmen tinggi setiap bulan.

“Tahun lalu saya terpaksa jual dua set dram kesayangan pada harga RM1,500 dan RM2,000 selepas wang simpanan yang digunakan selama setahun semakin berkurangan.

“Sebenarnya golongan OKU lebih banyak pakai duit sebab perlu mencari kediaman yang berhampiran dengan pengangkutan awam serta perlu menggunakan khidmat e-hailing untuk bergerak, secara tidak langsung menelan kos yang tinggi.

“Saya juga ada mohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia menyukarkan saya untuk membuat urusan permohonan kerana pejabat tutup.

“Pendapatan sebagai ‘buskers’ sekarang juga tidak semeriah dulu kerana orang ramai bekerja dari rumah. Pernah sekali saya busking di salah satu stesen LRT, saya hanya dapat RM30 saja pada hari itu, tapi bayaran untuk perkhidmatan Grab adalah RM35,” katanya.

Fendy berkata, dia kini melakukan busking secara langsung menerusi Facebook rasmi Fendy Caliph Buskers setiap Sabtu jam 9 malam.

Terdahulu, tular video yang dimuat naik Fendy di Facebook yang memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memudahkan permohonan mendapatkan rumah mampu milik DBKL.

Pendapatan Fendy terjejas hingga dia sukar membayar sewa ruamh serta menyara anak perempuannya berikutan pandemik Covid-19.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat