KUALA LUMPUR – Keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya telah direkodkan di kediamannya pada Rabu.
Difahamkan, proses merakam keterangan tersebut dilakukan oleh dua pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman Tan Sri berkenaan yang terletak di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, SPRM turut melakukan serbuan di satu lagi kediaman milik Tan Sri itu di Melaka.
“Namun tiada sebarang rampasan atau sitaan dilakukan,” katanya memetik Sinar Harian.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa pemegang konsesi lebuh raya berkenaan merupakan saksi utama dalam siasatan kes terbabit.
Media sebelum ini juga melaporkan bahawa seramai 45 saksi yang telah memberikan keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan maklumat tambahan.
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan sitaan harta berjumlah kira-kira RM143 juta yang dirampas dalam siasatan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.
SPRM sita aset RM32 juta milik Tan Sri disyaki seleweng dana bina lebuh raya
Jumlah terkini sitaan membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta, sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.
Turut disita adalah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta, tas tangan bernilai RM3 juta, barang kemas serta berlian (RM6 juta) dan empat ekor kuda bernilai RM400,000 selain minuman beralkohol bernilai RM3 juta, aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta.
Turut dilaporkan, kediaman Tan Sri yang dikaitkan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang dikawal ketat polis bantuan pagi ini.