Gagal selaras lawatan PM ke Dubai punca diplomat dipanggil pulang – Wisma Putra

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang atas kegagalan menyelaras lawatan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29-31 Mac 2022.

Tindakan itu diambil kerana kedua-dua ketua perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan di Dubai, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan , pada Isnin.

“Kegagalan ini termasuk Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.

“Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP biasa juga tidak ada,” menurut kenyataan itu.

Tegas Wisma Putra, tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut bukan sesuatu yang luar biasa dan “dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)”.

“Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya tentang penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (WGS) yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai.

“Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal tentang penganjuran WGS, pastinya usaha telah dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program tersebut,” kata Wisma Putra.

Jelas kementerian itu, masalah tersebut tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal kerana kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan buat Perdana Menteri sehingga ke akhir lawatan.

“Justeru, semasa majlis perlepasan pulang Perdana Menteri dari Dubai, Kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, dan Kerajaan UAE diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, TYT Omar bin Sultan Al Olama.

“Semasa di lapangan terbang itu, Tuan Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS tahun 2023, dan Perdana Menteri telah menyatakan persetujuannya menerima undangan tersebut.

KLN bagaimanapun menjelaskan bahawa lawatan tersebut berjaya mencapai objektif-objektif yang disasarkan, termasuk Perdana Menteri menghadiri Majlis Penutup Pavilion Malaysia dan Majlis Apresiasi bagi Pegawai dan Staf Pavilion Malaysia di Ekspo berkenaan.

Ismail Sabri juga menghadiri Majlis Pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat antarabangsa sempena Ekspo 2020 Dubai.

Semasa Majlis Penutup SWG pada 30 Mac, Ismail Sabri turut mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid al Maktoum.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat