Tak vaksin pun dapat bantuan khas Aidilfitri – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kerajaan tidak menetapkan sebarang pengecualian dalam pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022.

Ismail Sabri memberitahu pengumuman awal oleh beliau sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi.

“Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir,” jelas Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin.

Kata beliau, pengumuman Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 April 2022 adalah untuk semua kakitangan awam dan pesara yang layak, termasuk mereka yang tidak mendapat dos imunisasi COVID-19 yang lengkap.

“Susulan itu, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022.

“Bagaimanapun perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai,” ujar beliau.

Pun begitu Perdana Menteri berkata, biarpun tidak diwajibkan, kerajaan menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi COVID-19 demi kesejahteraan bersama.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Perdana Menteri berkata, pemberian itu termasuk kepada kakitangan di bawah skim ‘contract of service,’ ‘contract for service,’ pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

“Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April iaitu pada 25 April ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat