RUU Antilompat Parti: Ahli Parlimen Hargai Dan Ucap Terima Kasih Kepada PM

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini menghargai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibentang di sidang Dewan Rakyat.

Meskipun RUU itu masih diperhalusi namun, rata-rata ahli Parlimen terutamanya pembangkang berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menghormati semangat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kedua-dua blok yang antara perkara utamanya ialah RUU Anti Lompat Parti.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya merakam terima kasih kepada Perdana Menteri dan menteri yang berkenaan kerana telah mengambil langkah menerima pandangan dan menghormati semangat persefahaman yang dimeterai bersama dalam MOU antara kerajaan dan juga Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan mesej yang kepada Perdana Menteri.

“Tahniah kerana berjaya menyatukan kerajaan dan pembangkang melalui usaha dwi- partisan untuk mengangkat akta lompat parti ini,” kata beliau.

Manakala Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga bersetuju dengan syor Perdana Menteri untuk mengkaji lebih lanjut berkenaan RUU itu.

“Ahli Parlimen Bera juga bersetuju bahawa Perkara 10 3(A) itu perlu diperhalusi dengan meletakkan perkataan-perkataan yang lebih khusus untuk menyekat hanya untuk Akta Anti Lompat Parti ia tidak menjurus kepada perkara yang lain seperti yang diperkatakan oleh menteri tadi.

“Bahawa sidang khas dapat diadakan sebelum penghujung Mei supaya kita bawa balik pindaan yang diperlukan untuk pinda Perlembagaan dan juga draf akta anti lompat parti dibentangkan secara bersama,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam ucapannya menyebut, sokongan daripada pihak pembangkang pada hari ini menunjukkan bagaimana dalam sejarah keputusan yang besar boleh dicapai apabila kita berunding dengan bijaksana dan rundingan ini berjaya dilaksanakan.

“Satu perkara yang menjadi rekod di dalam sejarah bagaimana kerajaan hari ini dalam majoriti tipis boleh mengadakan rundingan begitu baik dengan pembangkang dan begitu juga dengan pembangkang dengan hati yang terbuka telah pun bertindak untuk memberikan sokongan terhadap apa yang dibentangkan oleh kerajaan.

“Ini menunjukkan bahawa kestabilan ini boleh dicapai dengan rundingan tak perlu untuk kita nak buat pilihan raya baru nak stabil
walaupun majoriti tipis tetapi apabila berlakunya rundingan kerajaan tetap stabil,” tegasnya.

Justeru beliau yang juga Ketua Pemuda PAS menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri yang ada pada hari ini.

“Beliau perlu kekal ke akhir penggal bagi memberikan laluan kepada agenda-agenda yang lebih penting kepada rakyat dan tidak tunduk kepada usaha-usaha untuk mengadakan pilihan raya dengan segera yang tidak memberikan manfaat pun kepada negara, ini mesej penting di sebalik apa yang kita capai pada hari ini,” ucap Ahmad Fadhli.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas keutamaan yang diberikan kepada pindaan ini dan ia menjadi hari yang cukup bersejarah di mana dengan pindaan yang dicadangkan akan membolehkan suatu RUU Antilompat Parti digubal.