UMS akan bangunkan sistem telaga tiub

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memerlukan bekalan air sebanyak lima juta liter air sehari, namun Jabatan Bekalan Air Sabah hanya boleh membekalkan dua juta liter sehari.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, perkara itu yang menyebabkan gangguan serta bekalan air tidak mencukupi di universiti berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, UMS ketika ini berusaha mencari alternatif lain dengan mendapatkan air dari dalam tanah menggunakan sistem telaga tiub.

“Masalah ini berlaku sejak pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo disebabkan banyak paip harus diganti dan dipindahkan. Bukan hanya menjejaskan UMS, tetapi keseluruhan Pantai Barat Sabah.

“Apabila bekalan air tidak cukup, jadi kena cari alternatif dua hingga tiga juta liter air dengan telaga tiub.

“Telaga tiub boleh menjana 150,000 liter air satu hari, maka kita memerlukan paling sikit 15 telaga tiub,” lapor Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mendapat perhatian orang ramai selepas beliau disambut dengan keluhan isu air yang dihadapi oleh pelajar UMS.

Zambry disambut oleh pelajar universiti itu dengan lagu dan lirik antara lain berbunyi ‘kami belum mandi’ selain turut memegang pelbagai plakad, termasuk yang bertulis “Air Ma(na)dani?”.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta satu laporan penuh berhubung pelaksanaan peruntukan sebanyak RM3 juta yang diberikan kepada UMS pada Mei lalu bagi menyelesaikan isu bekalan air di UMS.

Pada masa sama, Zambry ketika lawatan itu juga mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan air di universiti tersebut boleh diatasi segera.

Mengulas lanjut, Kasim berkata, sistem telaga tiub bagaimanapun memakan masa yang lama dan setakat ini satu sudah siap.

“Tetapi, pencarian air bawah tanah itu bukan senang. Cari di mana ada air, makan masa berminggu dan berbulan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin berkata, keadaan air di UMS sememangnya sangat kritikal, namun tidak menyeluruh.

Menurutnya, ini kerana keadaan itu hanya melibatkan blok-blok kediaman yang terletak di atas bukit dan memerlukan tekanan yang tinggi bagi membolehkan air dihantar.

“Memandangkan blok-blok ini tidak dapat menggunakan air daripada tangki utama UMS, mereka hanya bergantung dengan bekalan lori air dari luar, UMS membayar RM800 bagi satu lori air bersaiz sederhana.

“UMS terpaksa berbelanja hanya untuk lori air sebanyak RM8,000 ke RM18,000 setiap hari, ini jumlah sangat banyak.

“Saya juga pernah berunding dan berbincang dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) sehingga beliau memutuskan agar semua lori air dihantar ke blok kediaman dan bangunan akademik sahaja, usah tambah air di bangunan pentadbiran,” kongsinya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat