KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya didesak untuk menyatakan titah adendum bagi membolehkan Datuk Seri Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah wujud atau tidak.
Ketua Penerangan Pas Fadhli Shaari memuji dan menyokong soalan mudah dan ringkas yang dikemukakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi yang bertanya titah adendum wujud atau tidak.
“Dalam bab ni bagus Datuk Puad, saya setuju. Inilah sebenarnya yang rakyat mahu.
“Ada atau tidak ada, itu sahaja. Ini bukan wawancara CNN yang kena jawab segera, Yes or No. Ambil masa takpe, tapi takkan sampai setahun.
“Cumanya, tadi di sebelah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Cuba Datuk (Zahid) WhatsApp sepatah tanya,” syor Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Sebelum itu Puad yang juga Speaker DUN Johor membangkitkan persoalan “rakyat tanya “titah adendum” itu wujud atau tidak?
“Rakyat tidak tanya titah adendum itu dibincang dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. Soalan mudah,” kata Puad.
Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan titah adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.
Anwar menjelaskan, beliau sendiri terlibat pada mesyuarat itu dan isu berkenaan tidak dibincangkan.
“Ia tidak termasuk dalam agenda. Tuanku Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.
“Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Datuk Seri Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.