Saifuddin Kesal Tindakan Adun dan Ahli Parlimen Sabah Keluar Bersatu

- Advertisement -

KUANTAN – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan wakil rakyat parti itu di Sabah yang keluar Bersatu hari ini.

Saifuddin berkata, ia dikesali kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat di negeri itu sebelum ini menang Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Bersatu.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu tidak melanggar Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti kerana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum meluluskan akta terbabit.

“Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan sebagai Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang, saya kesal tindakan dilakukan oleh teman saya di Sabah.

“Ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi atas nama Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini hari ini.

Bersatu Sabah lumpuh apabila semua wakil rakyatnya keluar parti itu berkuat kuasa hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, semua wakil rakyat mengambil keputusan keluar dan meninggalkan Bersatu.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, pada masa ini wakil rakyat akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, difahamkan Bersatu masih wujud di Sabah kerana terdapat Ahli Parlimen dan pimpinannya yang akan meneruskan kewujudan perjuangan parti itu di negeri terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang menegaskan, Bersatu negeri ini akan tetap kekal utuh dan tidak akan berganjak sokongan serta dokongan kepada parti itu.

“Dalam mesyuarat ahli Parlimen Bersatu sebelum ini, saya mencadangkan agar Bersatu membuat muhasabah dengan mencadangkan tiga perkara.

“Pertama, Bersatu perlu mengolah balik matlamat dan objektif yang ditubuhkan untuk menggantikan UMNO di mana sebahagiannya sudah dicapai dengan kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu.

“Kedua, Bersatu perlu memperkasa sayap bersekutu yang membuka keahlian kepada bukan Melayu dan bukan bumiputera sekali gus mempertingkatkan sokongan mereka terhadap Bersatu.

“Ketiga, Bersatu perlu meningkatkan program pentadbiran parti supaya memiliki jentera pilihan raya yang lebih komited dan mantap,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat