Teroka sisi berbeza Langkawi

- Advertisement -

DIKENALI dengan jolokan Permata Kedah, Pulau Langkawi sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

Berpeluang melawat pulau ketiga terbesar di Malaysia ini selepas lebih 10 tahun tidak ke sana, penulis sangat teruja melihat perubahan di pulau yang pernah dilanda ‘sumpahan Mahsuri’ ini.

Kali ini, penulis meneroka Langkawi dari sisi berbeza dengan melawat tempat yang kurang dilawati pelancong luar dan melakukan aktiviti yang belum pernah dilakukan di pulau bersejarah ini.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 10 pagi, penulis terus mendapatkan kereta sewa yang sedia ditempah untuk lawatan ini.

Lokasi pertama adalah untuk mengalas perut di restoran Nasi Dagang Pak Malau. Perasaan menjamah nasi dagang yang dinikmati bersama pemandangan sawah padi nan indah sangat mengujakan.

Destinasi seterusnya adalah dua tarikan semula jadi yang jarang dilawati pengunjung luar, mungkin kerana lokasinya yang terletak agak jauh dari pusat tarikan pelancongan yang lain, Air Terjun Temurun dan Pantai Pasir Tengkorak.

 

PANORAMA laut serta hutan rimba yang dilihat dari atas pelantar tinjau. FOTO: Faiz Kamaruzzaman
PANORAMA laut serta hutan rimba yang dilihat dari atas pelantar tinjau. FOTO: Faiz Kamaruzzaman

 

Kira-kira 40 kilometer (km) dari Pekan Kuah, terletaknya pesisir pantai kecil yang dikenali sebagai Pantai Pasir Tengkorak.

Walaupun tidak sepanjang dan setengah deretan pantai lain di Langkawi, bagi penulis pantai ini antara pantai tercantik di Langkawi jika dibandingkan kejernihan air dan kehalusan pasir pantainya. Menjadikan ia sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan beristirahat.

Terdapat pelbagai fasiliti disediakan seperti bilik air, surau, gerai makan dan pondok bagi kemudahan pengunjung.

Ketika penulis berada di sini, didapati kebanyakan yang melawat adalah pengunjung dari Langkawi sendiri.

Terletak di Hutan Simpan Machincang Langkawi, Air Terjun Temurun setinggi 40 meter (m) ini sesuai untuk aktiviti berkelah.

Keindahan pemandangan air terjun ini terletak di tingkat kedua di mana di bawah air terjun itu terdapat kolam semula jadi yang sesuai untuk mandi-manda.

 

PENULIS memanjat jaring tali ketika aktiviti Skytrex.
PENULIS memanjat jaring tali ketika aktiviti Skytrex.

 

Mengelilingi Air Terjun Temurun, hutan hujan berusia jutaan tahun pula memberikan suasana segar dan nyaman disulami bunyi deruan air terjun serta unggas hutan.

Terletak hanya sepelaung dari Pantai Pasir Tengkorak, sesetengah pengunjung menjadikan tarikan semula jadi ini untuk membilas air masin selepas mandi-manda di laut.

Usai mandi, penulis meneruskan pemanduan selama setengah jam menghala Pantai Tanjung Rhu untuk menikmati pemandangan matahari terbenam.

Pantai yang agak terkenal dalam kalangan pelancong ini menyajikan pemandangan pantai landai yang luas berlatarkan beberapa batu tunggul yang membentuk imej indah di lensa foto.

Aneka kedai makan dan cenderahati di sini memberi pilihan kepada pengunjung. Penulis dan teman menghampar tikar dan duduk menikmati suasana pantai selepas membeli sedikit kudapan sambil menunggu sang mentari pulang ke ufuk barat.

Pada hari kedua, penulis mencuba aktiviti lasak di Skytrex Langkawi. Pusat aktiviti luar yang menyediakan cabaran bertali yang dibina atas pokok dengan peserta perlu melalui pelbagai jenis halangan dari awal hingga akhir trek.

 

PENGALAMAN menunggu matahari terbenam di Pantai Tanjung Rhu.
PENGALAMAN menunggu matahari terbenam di Pantai Tanjung Rhu.

 

Aktiviti yang mencabar fizikal ini memerlukan peserta melakukan beberapa halangan seperti ‘zipline’, merentas dari pohon ke pohon dengan meniti halangan bertali atau kepingan kayu, memanjat tangga menegak dengan ketinggian hampir 20m dan pelbagai halangan lagi.

Secara peribadi, walaupun mempunyai sedikit fobia terhadap ketinggian, penulis berasakan aktiviti mencabar ini sangat menyeronokkan.

Tidak perlu risau kerana penganjur menyediakan taklimat keselamatan bagaimana memasang sendiri abah-abah keselamatan dan cangkuk ‘zipline’ supaya perjalanan atas kanopi pohon sentiasa lancar dan lebih penting selamat.

Penulis juga sempat singgah ke Langkawi Skycab yang terletak berdekatan untuk menikmati udara nyaman dan keindahan dari atas Gunung Machincang dengan menaiki gondola yang boleh memuatkan enam orang pada satu-satu masa.

Di puncak yang berketinggian 709m dari paras laut, terdapat pelantar tinjau yang disediakan untuk melihat pemandangan indah Laut Andaman yang luas terbentang dan keunikan landskap batuan Gunung Machincang.

Terdapat juga jambatan SkyBridge berstruktur seperti jambatan gantung di ruang terbuka bersebelahan Gunung Machincang yang dibina untuk pengunjung menikmati panorama Langkawi dari atas.

 

JAMBATAN Skybridge yang tersergam indah dilihat dari dalam gondola.
JAMBATAN Skybridge yang tersergam indah dilihat dari dalam gondola.

 

Di puncak juga terdapat sebuah kafe dan kedai cenderamata bagi kemudahan pengunjung.

Pada sebelah petang, penulis berkesempatan mengikuti pakej ‘Sunset Cruise’ dengan peserta akan dibawa menaiki kapal layar untuk menikmati saat matahari terbenam.

Harga promosi yang berpatutan, bermula pada jam 5 petang, kapal layar bergerak dari dermaga menyelusuri beberapa pulau kecil sehingga sampai ke sebuah teluk di pinggiran Pulau Dayang Bunting.

Dalam perjalanan ke sana, peserta dapat bersantai di atas dek dan mengambil peluang berfoto.

Peserta berpeluang mandi dalam jaring yang dilepaskan dalam air laut di bahagian belakang ketika kapal bergerak.

Perasaan dalam kolam jakuzi air masin yang bergerak bagaikan deruan adrenalina cukup mengujakan. Ia adalah satu pengalaman baharu kepada penulis.

Sebaik tiba di teluk, kapal dilabuhkan seketika dan peserta dapat menikmati hidangan buffet makan malam atas dek.

 

KEDAI Nasi Dagang Pak Malau yang menjadi tarikan pengunjung.
KEDAI Nasi Dagang Pak Malau yang menjadi tarikan pengunjung.

 

 

PENULIS menaiki kapal layar untuk pakej 'Sunset Cruise'.
PENULIS menaiki kapal layar untuk pakej ‘Sunset Cruise’.

 

Ada juga peserta yang terjun laut untuk mandi dan menyegarkan badan. Tak kurang juga yang mengambil kesempatan merakam foto kenangan atas kapal.

Dalam perjalanan pulang, matahari yang beredar pulang ke tempat ‘tidurnya’ memberikan pemandangan senja yang menakjubkan dan unik dinikmati dari atas dek kapal layar. Ia adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Usai pelayaran yang berlabuh di Tanjung Malai, penulis dan teman singgah ke Pantai Cenang untuk medapatkan sedikit cenderahati dan coklat yang semestinya murah di sini untuk dibawa pulang kerana lawatan kali ini sudah berakhir.

Penulis berpuas hati kerana hasrat untuk meneroka sisi berbeza Langkawi dengan mencuba aktiviti yang baharu dapat dilakukan dengan lancar.

Pulau Langkawi sememangnya kaya dengan tarikan yang pelbagai merangkumi aspek sejarah, geografi, budaya, semula jadi dan banyak lagi. Pastinya ini bukan kali terakhir penulis ke sini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat