COVID-19: Vaksin sedang dibangunkan catat keberkesanan 90 peratus – Pfizer

- Advertisement -

WASHINGTON: Syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, semalam mengumumkan vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkannya berjaya mencatatkan keberkesanan hingga 90 peratus.

Perkembangan berkenaan sekali gus mendorong pasaran saham melambung tinggi bersama lonjakan harapan untuk menamatkan pandemik mengerikan itu.

Pfizer mendakwa, keputusan ujian dilakukan terhadap lebih 40,000 orang menunjukkan ‘pencapaian kritikal’ dalam usaha menghasilkan vaksin berkenaan ketika jangkitan global kini melepasi angka 50 juta, termasuk di AS yang mencecah 10 juta kes.

Vaksin berkesan dilihat sebagai harapan terbaik untuk menghapuskan kitaran wabak membawa maut itu yang mengakibatkan sekatan ketat terpaksa dilaksanakan di serata dunia bagi mengekang penularannya.

Puluhan juta penduduk di Eropah dikenakan perintah berkurung di rumah, manakala jutaan lagi pemilik perniagaan terpaksa gulung tikar.

Sekatan dalam kehidupan harian itu turut menjejaskan ekonomi global yang menyaksikan pemimpin bertungkus lumus mengikhtiarkan pelbagai langkah untuk melindungi rakyat mereka.

“Kami mencatat langkah signifikan yang semakin hampir untuk menyediakan penemuan amat diperlukan kepada penduduk di seluruh dunia, bagi membantu mengakhiri krisis kesihatan global ini,” kata Pengerusi Pfizer, Albert Bourla, dalam satu kenyataan.

Ubat terbabit yang dibangunkan bersama firma Jerman, BioNTech, adalah salah satu daripada lebih 40 calon vaksin tetapi belum ada pihak lain yang mendakwa mencapai keberkesanan seumpama itu.

Syarikat itu turut mendakwa mereka berupaya melepasi cabaran akhir untuk mengedarkan vaksin terbabit di AS, akhir bulan ini, selain mampu membekalkan hingga 50 juta dos ke seluruh dunia, tahun ini, dan 1.3 bilion lagi pada tahun depan.

Perkembangan itu juga menerima maklum balas positif daripada saintis, dengan pakar terkemuka AS, Anthony Fauci, menyifatkan keputusan berkenaan sebagai ‘luar biasa’.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengalu-alukannya sebagai sebagai berita ‘memberangsangkan’.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat