PETALING JAYA – Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan daripada isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Pulau Pinang.
Menurut beliau, ancaman untuk mengadakan demonstrasi di hadapan premis tersebut atau tindakan mengajar orang lain mengibarkan bendera adalah bentuk pembulian.
“Jadi, tidak perlulah mana-mana pihak cuba ‘menangguk di air keruh’, apatah lagi mengugut untuk membuat protes di depan premis perniagaan terbabit atau ‘mengajar’ orang untuk mengibar bendera.
Tindakan seperti itu adalah satu cara membuli yang sudah tentu ditolak sama sekali oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dipetik oleh FMT .
Baca Juga:
Bendera Terbalik: Lelaki 59 Tahun Ditahan, Polis Terima 16 Laporan
“Dasar Bengap!” Akmal Tempelak DAPSY Isu Ajar Cara Pasang Jalur Gemilang
Jalur Gemilang Terbalik: Pemilik Kedai Perkakasan Disiasat, Akui Kesilapan
Isu ini tercetus selepas tular sebuah video memaparkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai di Pulau Pinang.
Susulan kejadian, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh memaklumkan pihaknya akan hadir ke premis tersebut pada keesokan harinya.
Sementara itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun, pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas, kerana didakwa mengibarkan bendera negara dalam keadaan terbalik.



