CYBERJAYA – Pemilik sebuah kedai perkakasan yang menaikkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, petang tadi.
Menurut Harian Metro, lelaki berusia 59 tahun, Pang Chin Tian, hadir bersama seorang pekerja berusia lingkungan 20-an susulan insiden kontroversi yang tular di media sosial itu.
Bercakap di luar pekarangan IPD, Pang mengakui kesilapan berkenaan dan memohon maaf kepada masyarakat.
“Saya buat ini salah, saya mahu minta maaf… ini kesilapan pertama saya.
Pagi tadi saya mahu ukur ketinggian batang besi, belum ikat lagi bendera. Apabila sudah naik, baru sedar ia terbalik. Jadi saya dan pekerja terus turunkan semula,” katanya.
Pang berkata, beliau akur dan memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang membuat laporan polis terhadap Pang, menegaskan pihak berkuasa perlu menyiasat secara telus supaya insiden seperti itu tidak berulang.
“Di saat kita nak menyambut Hari Kemerdekaan, saya rasa amat kesal perkara ini berlaku dalam Parlimen Kepala Batas, apatah lagi dalam kawasan saya sendiri.
Kalau alasan culas digunakan, ia tidak boleh diterima walaupun dianggap satu kecuaian. Oleh itu, saya desak siasatan segera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata siasatan awal sedang dijalankan, termasuk mengambil rakaman percakapan pengadu dan suspek.
Beliau memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Polis menyeru orang ramai agar tidak mensensasikan kes ini sehingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya.



