PETALING JAYA – Seorang individu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras semalam berhubung penyebaran maklumat palsu di media sosial berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, tindakan itu diambil susulan kandungan yang dimuat naik dipercayai mengandungi unsur 3R — kaum, agama dan institusi diraja — yang dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan.
Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut merampas sebuah telefon pintar dan kad SIM bagi membantu siasatan.
“Kandungan tersebut dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dan dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa,” kata SKMM dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan Bernama.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
SKMM turut mengingatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada membuat spekulasi serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan. Penyebaran maklumat yang belum disahkan, jelas SKMM, boleh menyinggung keluarga mangsa dan mengganggu proses keadilan.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar pada jam 4 pagi.
Semalam, kubur pelajar Tingkatan Satu itu digali semula susulan arahan Jabatan Peguam Negara untuk meluaskan skop siasatan agar semua aspek dapat diteliti.



