Bicara Rasuah Zahid Ditangguh, SPRM Perlu Teliti Dokumen 200 Muka Surat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Perbicaraan rasuah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan hanya boleh mempertimbangkan representasi Zahid selepas hasil siasatan SPRM.

Malik, yang membantu Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, berkata pihak pembelaan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada Januari dan Februari.

“Ia setebal kira-kira 200 muka surat dan kami perlu meneliti dokumen itu kerana ia melibatkan isu yang rumit,” katanya lapor FMT pada Isnin.

Malik berkata SPRM juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Selepas berunding dengan peguam negara, saya diarahkan untuk tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan. Kami memerlukan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan representasi itu,” tambahnya.

“Kami memerlukan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan representasi.”

Sequerah: Berapa lama yang kamu perlu?

Malik: SPRM sedang menjalankan siasatan. Terdapat surat daripada ketua pesuruhjaya (SPRM) bertarikh 20 Feb kepada peguam negara.

Sequerah: Adakah SPRM membayangkan berapa lama masa yang akan diambil?

Malik: Tiada respons lagi, tetapi mereka perlu masa.

Sequerah: Adakah kamu bergantung kepada siasatan mereka untuk memutuskan perkara ini?

Malik: Surat 20 Feb telah dihantar kepada peguam negara. Sebarang keputusan mengenai representasi mesti mengambil kira siasatan mereka.

Terdahulu, Hamidi Mohd Noh selaku peguam bela memohon perbicaraan ditangguhkan kerana tiada keputusan dibuat berhubung representasi Zahid.

Sequerah membenarkan perbicaraan ditangguhkan tetapi menggesa Malik memaklumkan mahkamah sekiranya SPRM menamatkan siasatannya lebih awal.

“Sila tulis kepada kami jika keputusan dibuat,” katanya.

Perbicaraan ditetapkan sementara untuk disambung semula pada 1 hingga 3 Ogos, 7 hingga 10 Ogos, dan antara 21 dan 24 Ogos.

Pendengaran lanjut juga dtetapkan pada September hingga Disember.

Pada 2 Nov, hakim menangguhkan kes kepada 16 Jan sementara menunggu keputusan rayuan Zahid kepada Mahkamah Rayuan berhubung permohonannya untuk mendapatkan keterangan saksi yang direkodkan oleh SPRM.

Bagaimanapun, Zahid, yang kini timbalan perdana menteri, menghentikan rayuan itu.

Tidak dimaklumkan di mahkamah terbuka mengapa perbicaraan yang dijadualkan pada 16 Jan itu ditangguhkan.

Pihak pembelaan memanggil enam saksi setakat ini.

Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Dua belas daripada pertuduhan adalah untuk CBT, lapan untuk rasuah, dan baki 27 untuk pengubahan wang haram.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat