Najib teruja beritahu berjaya dapat dana pemerintah Arab Saudi – bekas duta Arab Saudi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi Profesor Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf memberitahu Mahkamah Tinggi Putrajaya, hari ini, Datuk Seri Najib Razak begitu teruja apabila memberitahunya bahawa beliau sudah berjaya mendapatkan bantuan dana daripada pemerintah Arab Saudi.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan Najib kepadanya sejurus selepas mesyuarat penting dengan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud yang diaturkan di Istana Riyadh pada 11 Januari 2010.

Menurut saksi kelima pembelaan itu, beliau dimaklumkan sendiri oleh bekas perdana menteri, sejurus mesyuarat berkenaan tamat ketika mereka dalam perjalanan keluar daripada dewan mesyuarat menuju ke kenderaan rombongan Malaysia.

Syed Omar berkata terdahulu ketika Raja Abdullah dan Najib berjalan keluar dari dewan, beliau nampak mereka bersalaman dan pada ketika itu, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan begitu teruja.

“Najib kemudian datang ke arah saya, dan beritahu, “kita telah berjaya, kita dapat bantuan dana.”

“Mesyuarat ini bukan mudah untuk diaturkan dan memakan masa begitu lama untuk tetapkan tarikhnya. Saya selaku Duta Besar mengetuai Kedutaan Malaysia untuk merealisasikan pertemuan ini.

“Hasilnya, seingat saya pada 11 Januari 2010, satu mesyuarat secara tidak rasmi (tertutup) telah diadakan. Lawatan rasmi perdana menteri bermula hanya pada 13 Januari 2010 hingga 16 Januari 2010,” lapor BH pada Isnin.

Syed Omar berkata, namun begitu, Najib dan hampir separuh daripada rombongan beliau tiba lebih awal daripada tarikh lawatan rasmi.

Sementara itu ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar pada sesi pemeriksaan balas, Syed Omar bersetuju bahawa beliau tidak mendengar perbualan di antara Raja Abdullah dan Najib kerana berada jauh di belakang mereka ketika itu.

Syed Omar juga berulang kali menyatakan ‘apa tak tau’ apabila disoal Kamarul Baharin mengenai jenis bantuan dana yang akan diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

Katanya, beliau juga tidak tahu sama ada Malaysia yang meminta pertolongan bantuan dana berkenaan.

Saksi turut menjelaskan, walaupun pertemuan itu diklasifikasikan sebagai mesyuarat tidak rasmi atau tidak umum, ia berlangsung dengan mengikuti agenda.

Antara agenda terbabit ialah, isu kuota jemaah Haji Malaysia, pertolongan bantuan dana dan pebincangan pergolakan politik di negara Islam yang sedang memuncak (yang kemudian akhirnya melarat sehingga mencetuskan `Arab Spring’ pada akhir tahun 2010).

Najib sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama, lapor akhbar itu lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang dijalankan di Istana Kehakiman di sini, bersambung Rabu ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat