Setiap kali Syawal menjelang, industri muzik tanah air pasti meriah dengan lagu-lagu raya baharu yang menceriakan suasana perayaan. Namun, tahun ini, Daiyan Trisha hadir dengan sesuatu yang berbeza menerusi single terbarunya, Jom Raya, yang menampilkan gabungan elemen moden dan tradisional dengan sentuhan unik yang mencerminkan realiti masyarakat hari ini.
Daiyan Trisha, penyanyi dan pelakon berbakat, mengambil pendekatan yang lebih kontemporari dalam menghasilkan Jom Raya. Berbanding lagu-lagu raya tipikal yang sering mengetengahkan elemen nostalgia dan kampung halaman, Jom Raya memberi nafas segar dengan memaparkan suasana Syawal dalam suasana bandar yang lebih moden.
“Kita selalu dengar lagu raya yang bertemakan balik kampung dan kemeriahan tradisi lama. Tapi realitinya, ramai juga yang menyambut raya di bandar, dan saya mahu meraikan golongan ini melalui lagu saya,” ujar Daiyan yang turut bertindak sebagai komposer lagu ini.
Salah satu keunikan Jom Raya terletak pada konsep liriknya yang diinspirasikan daripada ‘pick-up line’ popular di media sosial. Daiyan mengamati bagaimana pengguna media sosial gemar berkongsi ayat-ayat romantis berunsurkan lebaran, lalu menjadikannya sebagai elemen utama dalam lagu ini.
“Raya bukan sahaja tentang makanan dan pakaian baru, tetapi juga tentang interaksi sosial. Saya perasan ramai yang suka bergurau dengan ‘pick-up line’ berkaitan jodoh setiap kali tiba Syawal. Jadi, saya mahu mengangkat fenomena ini ke dalam lagu,” katanya.
Untuk menjadikan Jom Raya lebih menarik, Daiyan menampilkan penyanyi dan komposer Alfie Zumi sebagai rakan duet. Menurutnya, pemilihan Alfie adalah kerana keserasian dan kefahamannya terhadap konsep lagu yang ingin disampaikan.
“Sebenarnya ada dua versi lagu ini – satu versi solo dan satu lagi versi duet bersama Alfie. Saya rasa kehadiran Alfie memberi tambahan dimensi yang lebih menyeronokkan kepada lagu ini,” jelas Daiyan.
Versi solo Jom Raya akan dilancarkan pada 21 Mac di semua platform digital, memberikan kebebasan kepada peminat untuk memilih versi yang paling mereka gemari.
Keunikan Jom Raya tidak hanya terletak pada muzik dan liriknya, tetapi juga pada video muzik (MV) yang menyajikan perspektif yang lebih segar. Jika kebanyakan MV lagu raya lain menampilkan latar belakang kampung dan suasana desa yang meriah, Jom Raya membawa penonton ke dalam suasana perayaan dalam persekitaran bandar dengan rekaan rumah moden.
“Saya mahu menunjukkan kepelbagaian cara orang meraikan raya. Ada yang balik kampung, ada juga yang beraya di rumah sendiri di bandar. MV ini mencerminkan realiti itu,” katanya.
Diarahkan oleh Abu Hsvii dan dibintangi oleh Kasih Leona serta Jazmy Juma, MV Jom Raya mengetengahkan elemen keakraban dan kemesraan dalam suasana yang lebih santai dan moden.
Dengan pelancaran Jom Raya, Daiyan sekali lagi membuktikan kebolehannya dalam mencipta karya yang segar dan relevan dengan arus zaman. Sebagai seorang artis yang sentiasa bereksperimen dengan muzik, Daiyan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baru demi memberikan pengalaman yang lebih dekat dengan pendengar.
Bagi peminat yang ingin merasakan pengalaman beraya dalam nada moden, Jom Raya kini boleh distrim di semua platform muzik digital, manakala video muziknya tersedia di YouTube. Mungkin, ada antara liriknya yang boleh menggamit memori raya anda tahun ini!