Jana pendapatan tambahan, kenaikan gaji dan subsidi bersasar alternatif selain keluarkan KWSP – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Desakan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memang nampak mudah untuk ahli politik sekarang tetapi rakyat yang terpaksa menanggungnya kerana mereka kehilangan simpanan hari tua.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, alternatif lain yang dirangka kerajaan untuk membantu rakyat selain daripada mengeluarkan KWSP ialah dengan membuka peluang kepada lebih ramai golongan B40 ke bawah untuk menjana pendapatan tambahan.

Selain itu beliau juga menyebut melalui kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kerajaan mula melihat kepada dasar-dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji.

“Sasaran pertumbuhan gaji tidak boleh dilihat semata-mata kepada aspek kos sara hidup sahaja tetapi kerajaan mesti ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua tahun, lima tahun akan datang untuk memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran,” jelas Rafizi pada sidang media selepas sesi kick-off Dialog Strategik bersama Menteri Ekonomi : Pemerkasaan Industri untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam era Revolusi Perindustrian keempat (4IR), pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rafizi berkata secara prinsipnya l kerajaan cuba sedaya upaya untuk memastikan program subsidi itu disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

“Kita alihkan daripada kumpulan yang tidak memerlukan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, itu juga akan memastikan kesan kenaikan kos sara hidup itu dapat ditangani dengan lebih baik oleh keluarga-keluarga seperti ini.

“Hal demikian kita perlukan laksanakan sekumpulan dasar yang perlu berlaku sekali gus,” ujarnya.

Menurut Rafizi lagi, pengeluaran KWSP perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Walaupun saya faham untuk sesetengah keluarga atau golongan itu (KWSP) dikira dapat membantu buat masa sekarang tetapi kos yang terpaksa dibayar oleh mereka di kemudian hari itu adalah tinggi.

“Oleh itu, kita boleh ambil jalan mudah tetapi dalam keadaan yang masyarakat kita semakin menua dan kos untuk melalui hari tua itu akan bertambah tinggi pada masa akan datang memang menjadi tanggungjawab kita memastikan rakyat ada simpanan. Sekarang ini berapa ramai rakyat kita cuma ada sedikit simpanan.

“Jadi apa yang kita mampu bantu dari segi bantuan dasar yang lain sekarang ini yang melibatkan kos dan pendapatan kita perlu tumpu yang itu dahulu kerana menyentuh mengambil wang persaraan di hari tua,” katanya.

Pun begitu Rafizi menjelaskan, subsidi bersasar yang akan dicadangkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 ini bukan bermaksud subsidi akan dihapuskan.

“Akan ada golongan yang sebenarnya lebih memerlukan mendapat lebih subsidi daripada yang mereka ada sekarang.

“Jadi golongan inilah yang akan lebih mendapat manfaat. Tapi golongan yang tak sepatut dapat subsidi macam saya dengan Datuk (Timbalan Menteri) tak tak payahlah dapat subsidi. Sekarang ni kita orang pun dapat subsidi. Dan subsidi kalau dalam beberapa perkara contohnya subsidi petrol tenaga elektrik kan? Yang banyak dapatnya, kita orang. Bukannya yang kumpulan itu.

“Kita akan memastikan untuk mengalihkan itu supaya yang sepatutnya dapat itu dapat lebih. Sebab itu setiap kali berlaku kenaikan harga barang golongan itu lebih tertekan sedangkan kumpulan T20 tak terkesan kerana pendapatan lebih.

“Kerajaan akan memastikan sumber ini benar-benar sampai dengan lebih banyak kepada kumpulan yang sewajarnya menerima dan merekalah yang wajar lebih dibantu dalam menangani kenaikan kos sara hidup sekarang hari ini,” jelas beliau lagi.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan KWSP.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat