Najib Hairan, Kumpulan Pro-PH Tak Mahu Tahu Pula Siapa Sogok Goldman Sachs?

KUALA LUMPUR – Kes beberapa pegawai kerajaan dan 1MDB disogok sehingga Goldman Sachs perlu membayar RM16.6 bilion tidak pula menjadi isu yang didesak kumpulan pro Pakatan Harapan (PH),” bidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, PH bertindak seolah-olah tidak ambil peduli malah tidak menuntut kerajaan untuk telus dan mendedahkan nama individu-individu yang disogok.

“Kes Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki) meiliki saham bernilai sekitar RM300,000 hingga RM600,000 mereka serang habis-habisan dan suruh telus (dan kerajaan memang perlu telus dan memberi penjelasan yang menyakinkan).

“Tapi kes bekas keluarga bekas Gabenor (Tan Seri Zeti Akhtar Aziz) menerima RM65 juta sehingga RM700 juta dana berkait 1MDB untuk disorok di akaun bank luar negara, mereka membisu.

“Kes bekas menteri Kabinet terlibat dalam kes SRC menerima RM85 juta dana berkait 1MDB untuk disorok di akaun bank proksi luar negara, mereka membisu lagi.

“Dan kes beberapa pegawai kerajaan dan 1MDB disogok sehingga Goldman Sachs perlu membayar RM16.6 bilion, mereka juga buat bodoh, tak mahu ambil tahu dan tak tuntut kerajaan untuk telus dan dedahkan nama individu-individu yang disogok. Pelik, kan? Bagaimana dengan saudara-saudari, kamu ingin tahu tak?,” bidas Najib.

Beliau memaklumkan, Goldman Sachs dilantik pada awal tahun 2009 semasa penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan sebelum ianya diambil alih oleh kerajaan pusat dan dinamakan semula sebagai 1MDB.

Kata Najib lagi, Goldman Sachs telah membayar RM16.6 bilion kepada kerajaan pusat setelah mengaku pegawai-pegawai mereka telah sogok beberapa orang pegawai kerajaan Malaysia dan 1MDB yang tidak dinamakan.

“Barisan peguam Amerika Syarikat bagi bekas pegawai Goldman Sachs yang dituduh terlibat dalam sogokan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia dan 1MDB mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka mempunyai bukti “exculpatory” ataupun bukti yang boleh membersihkan nama saya dan mereka ada tanggung jawab etika serta moral untuk menyalurkan bukti tersebut kepada saya tapi dihalang oleh kerajaan Amerika Syarikat.

“Saya juga menang dalam mahkamah USA untuk mendapat matlumat tersebut tapi dihalang oleh kerajaan USA yang tiba-tiba sekat mahkamah serta Goldman Sachs untuk mendedahkannya kepada saya.

“Kerajaan Malaysia pula tidak mahu mendedahkan matlumat tersebut sebab mereka telah rahsiakan perjanjian penyelesaian Goldman Sachs dan klasifikasikannya sebagai OSA,” ujarnya.

Ulas Najib, barisan pendakwaan kerajaan dalam kes-kes beliau juga tidak ingin cari atau tahu matlumat tersebut walaupun matlumat ini ada pada kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat apabila hakim kata barisan pendakwaan tidak memiliki matlumat tersebut semasa hakim tolak permohonan beliau untuk mendapatnya.

“Jadi, kerajaan Amerika Syarikat dan Malaysia tidak mahu dedahkan.

“Pihak pendakwa raya tidak ingin tahu atau ingin cari.

“Dan tiada seorang dari NGO-NGO pro-PH, pemimpin-pemimpin PH ataupun geng Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga ingin tahu atau tuntut tindakan diambil ke atas pegawai-pegawai kerajaan Malaysia dan 1MDB tidak dinamakan yang telah disogok sehingga Goldman Sachs terpaksa membayar RM16.6 bilion sebagai kos penyelesaian kepada kerajaan Malaysia,” kritik Najib.

Pada 27 Oktober tahun lalu Najib Razak membuat laporan terhadap bekas ahli perbankan Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner di ibu pejabat SPRM berhubung kes 1MDB.

Beliau berkata, ini untuk membolehkan supaya pihak berkuasa Malaysia menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama dari Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, dalam usaha membersihkan namanya dalam kes 1MDB.

Katanya, tindakannya itu berikutan sudah habis usaha untuk mendapatkan senarai nama individu dari syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia, yang didakwa pernah disogok Leissner seperti pengakuan salah lelaki itu di mahkamah di Amerika Syarikat, tahun 2020.

Pengakuan salah itu menyaksikan Goldman Sachs bersetuju untuk membayar ganti rugi sebanyak US$3.9 bilion bersamaan dengan RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.