KUALA LUMPUR – Kebimbangan Malaysia berdepan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, kerajaan merangka pelbagai mekanisme bagi menangani isu populasi spesis itu secara serius.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya atau National Tiger Conservation Task Force (MyTTF) telah diadakan hari ini dan dipengerusikan oleh beliau bagi membincangkan tentang tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya.

“Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

“Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya,” ujar Ismail Sabri.

Kata beliau, dalam mesyuarat ini, MyTTF bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2021 hingga 2030 melalui enam pendekatan.

“Rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.

“Pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.

“Meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.

” Memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM, dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai centre of excellence bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya,” katanya.

Perdana Menteri menambah, kerajaan akan memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation yang sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

Selain itu katanya melaksanakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik.

Ismail Sabri memaklumkan penubuhan MyTTF merupakan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.

“Ia menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya dan habitatnya.
Kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.

“Antara lain, ia disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper.

“Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah dipinda dan diluluskan oleh Parlimen pada 21 Disember 2021 untuk meningkatkan
keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya,” katanya.

Perdana Menteri mengulas, melalui pindaan tersebut, denda maksimum telah ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.

“Selain itu, terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar
dalam talian (online),” jelasnya.

Kata beliau, mesyuarat dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Pahang, Selangor serta Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.

Di peringkat Persekutuan, ia dihadiri oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan Menteri Kewangan serta wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.