KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjelaskan tiada kesalahan dikesan dalam isu tadbir urus Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Dalam laporan prosiding mengenai tindakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 20 November lalu, pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) Mohd Fuad Sedet memberitahu Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin siasatan badan itu mendapati tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
“Daripada kertas siasatan tersebut, kami panjangkan kepada Bahagian Pemeriksaan dan Tatakelola (BPT),” jawab Fuad.
Beliau berkata demikian di hadapan Mas Ermieyati dalam prosiding tersebut seperti dipetik daripada laporan PAC pada Isnin.
Dalam pada itu, seorang lagi pegawai SPRM Zulhairy Zaidel memberitahu pihaknya telah membuka tiga kertas penyiasatan tata kelola bagi tiga isu berlainan.
“Mungkin pada Disember ini kita akan adakan pembentangan penambahbaikan tata kelola,” jawab Zulhairy.
Untuk rekod, SPRM melakukan siasatan terhadap HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 kerana ada keputusan diambil didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat pada Julai lalu.
Sebelum ini, media melaporkan pegawai penyiasat SPRM telah mengambil dokumen dari pejabat HRD Corp di Kuala Lumpur dan KESUMA di sini dalam minggu ini bagi mendapatkan dokumen diperlukan untuk membantu siasatan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024, terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
PAC turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Sidang Dewan Rakyat hari ini membahaskan laporan PAC berkenaan.